Unjuran KDNK 5.8% suku kedua, hutang negara menurun bukti kejayaan PMX
- Suara Keadilan
- Jul 26, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Anggaran ekonomi berkembang pada kadar 5.8 peratus pada suku kedua 2024 sememangnya memberi isyarat bahawa negara berada di landasan yang tepat.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Wilayah Persekutuan, Goh Kah Yong berkata pencapaian luar biasa itu membuktikan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) berjaya membawa ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul, sekali gus menafikan tuduhan pembangkang yang menyifatkan ekonomi negara berada di paras terburuk.
"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan sentiasa mencapai tahap yang terbaik daripada sasaran dan jangkaan yang dibuat oleh pelbagai pihak serta menegaskan bahawa kepercayaan rakyat terhadap kerajaan adalah penggerak utama kemajuan negara.

"Selain itu, rakyat sentiasa menjadi tulang belakang dan menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah hutang negara daripada RM100 bilion pada tahun 2022, RM93 bilion pada tahun 2023 kepada RM86 bilion pada tahun ini. Termasuk juga langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar," katanya dalam satu kenyataan.
Malah, kata beliau, kerja keras pemimpin nombor satu negara itu menarik pelabur asing ke Malaysia dengan siri lawatan luar negara kian membuahkan hasil.
"Negara kita telah berjaya menarik pelaburan daripada negara China yang berjumlah RM170 bilion yang akan digunakan untuk beberapa sektor seperti pembangunan infrastuktur, teknologi dan pembuatan di Malaysia selain mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan.
"Selain itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah berjaya menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat Jepun yang berpotensi menarik pelaburan sebanyak RM1.45 bilion dengan potensi eksport sebanyak RM550 juta.
"Pelaburan ini akan terus memacu inovasi dan perkembangan Malaysia dalam industri baharu," ujarnya lagi.
Tambah Kah Yong, melalui pelaburan itu, ia akan menyuntik ekonomi negara dan mengoptimumkan struktur industri negara, meningkatkan daya saing serta meningkatkan kualiti taraf hidup rakyat.
Comments