Unity in Motion 2.0: Badminton IPT jadi pentas perpaduan anak muda
- Redzuan Shamsudin
- Aug 10
- 1 min read

Kejohanan Badminton IPT Seluruh Malaysia anjuran YPC Kolej bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pandan, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan dan PEBS Zon 14, membuktikan sukan mampu menjadi jambatan perpaduan, medan ilmu, dan pemangkin keyakinan diri anak muda.
Menurut kenyataan Sekretariat Penerangan dan Komunikasi AMK Pandan, Program Unity in Motion 2.0 ini bukan sekadar menampilkan aksi sengit di gelanggang badminton, malah menggabungkan elemen latihan asas, perkongsian ilmu dan pembentukan nilai disiplin dalam kalangan pelajar IPT.
Menariknya, keseluruhan gerak kerja daripada perancangan hingga pelaksanaan digerakkan sendiri oleh pasukan pelajar YPC Kolej dengan bimbingan penyelia – membuktikan bahawa anak muda bukan sahaja mampu, malah bersedia memimpin.
Dalam pada itu, Ketua AMK Pandan, Ifwat Amir Hamirudin menyifatkan kejayaan program tersebut merupakan bukti pentingnya memberi ruang dan peluang kepada generasi muda.

"Kami di AMK Pandan percaya bahawa inisiatif seperti ini harus diteruskan. Bila kita bagi peluang dan ruang kepada anak muda, mereka bukan sahaja ambil peluang itu – mereka cemerlangkannya. Insya-Allah, akan ada lagi program-program susulan untuk terus membina gerakan anak muda yang bersatu dan berdaya saing," katanya.
Kejohanan ini sekali lagi mengesahkan bahawa sukan, pendidikan dan komuniti boleh bergabung menjadi satu gerakan yang menyatukan – Unity in Motion 2.0 bukan sekadar mencatat skor di papan markah, tetapi mencatat kemenangan dalam membina generasi muda yang bersatu, berkeyakinan, dan berdaya saing.
Comments