Ungkapan seksis: Rodziah sokong MP Langkawi dirujuk ke J/K Hak, Kebebasan Parlimen
- Suara Keadilan
- Nov 2, 2023
- 2 min read

Berikutan ungkapan seksis yang diucapkan dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada 26 Okt lalu, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail menyokong agar Ahli Parlimen (MP) Langkawi dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Menurut Rodziah, ungkapan Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah itu di luar ketertiban dan merendahkan maruah wanita.
Suhaimi dalam perbahasan baru baru ini apabila dicelah oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai pemakaian pakaian sesuai di pusat pelancongan Langkawi berkata, Ahli Parlimen Seputeh itu boleh datang sama ada berpakaian atau tidak.
"Selaku Ahli Jawatankuasa Khas Wanita dan Kanak kanak (Parlimen), saya rasa perkara ini memang kita kena tegaskan. Pelakuan begini memang tidak patut diucapkan dalam dewan kerana ianya seolah mempermainkan, yang ditanya lain, dijawab lain.
"Saya rasa boleh sahaja Langkawi menjawab dalam sudut yang lain. Tetapi menggunakan perkataan seksis ini dalam (menjadi) kegemaran beliau.
"Jadi untuk itu saya bersama rakan rakan ingin memberi sokongan terhadap usul tersebut (rujuk ke jawatankuasa) boleh dibincangkan dalam dewan," katanya pada sidang media selepas Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menghantar usul ke pejabat setiausaha Dewan Rakyat untuk merujuk Ahli Parlimen Langkawi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Rodziah berkata, perkara seperti itu sama sekali tidak boleh diucapkan di Dewan rakyat dan mencemarkan kemuliaan dewan yang diguna membahaskan undang undang.
"Perkara ini kita secara konsisten akan mempertegaskan kerana perkara ini sepatutnya tidak langsung berlaku dalam Dewan Rakyat," katanya lagi.
Minggu lalu, dalam celahan sesi perbahasan Belanjawan 2024, Ahli Parlimen Langkawi, Suhaimi Abdullah mengeluarkan ungkapan seksis kepada Teresa Kok yang bertanya sama ada boleh datang ke Langkawi dengan memakai seluar pendek.
Suhaimi menjawab secara seksis.
"Saya nak jemput khusus kepada Seputeh (Kok) datang (ke Langkawi) tak mahu pakai apa-apa pun tak apa," katanya mencetuskan situasi gamat dalam dewan.
Kenyataan Suhaimi itu dicelah Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin yang menyatakan ayat digunakan Langkawi melanggar peraturan dewan.
Suhaimi kemudian berkata, "saya terlupa nak sebut, saya nak bayangkan bagaimana Seputeh datang (Langkawi) tak pakai apa-apa".
Kok kemudian membidas Suhaimi dan mendakwa Ahli Parlimen Langkawi itu berfikiran lucah.
"Lucah….fikiran kurang bersih," katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau kemudian menenangkan keadaan dan meminta Suhaimi duduk dan menamatkan ucapan bahas.
Comments