Ungkapan 'orang India tidak setia' satu bentuk diskriminasi - MP Segamat
- Suara Keadilan

- Jan 16, 2024
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Ungkapan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap masyarakat berketurunan India yang kononnya “tidak setia kepada negara ini” kerana “terikat dengan negara asal” kerana masih bercakap dalam bahasa Tamil merupakan satu ungkapan yang berunsur diskriminasi, kata Ahli Parlimen Segamat.
R Yuneswaran berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu boleh merencatkan keutuhan perpaduan yang merupakan teras penting dalam memperkukuh ketamadunan di era Malaysia Madani.
"Saya secara peribadi merasa terkilan, sedih dan marah terhadap kenyataan yang keluar dari mulut seorang negarawan yang sepatutnya menjadi figura yang waras dalam berbicara soal perpaduan, lebih-lebih lagi ia melibatkan sensitiviti masyarakat India dan Cina yang beliau dengan jelas menyebut mereka merupakan imigran dari negara lain," katanya dalam kenyataan.
Yuneswaran mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam satu temubual terbitan ‘Tanthi TV’ berdurasi 30 minit yang menyatakan bahawa orang India di negara ini tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata, kenyataan jelik tersebut merupakan satu bentuk penghinaan terhadap perpaduan Malaysia yang selama ini dibina dengan nilai kesetiaan tanpa berbelah bagi kepada negara yang tercinta.
"Kenyataan prejudis tersebut telah mengundang kemarahan serta pelbagai reaksi kurang senang seluruh rakyat Malaysia khususnya masyarakat India yang selama ini banyak berbakti dan berkorban untuk kemakmuran, pembangunan serta kemajuan negara Malaysia.
Justeru itu, beliau menggesa Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka dan segera kepada seluruh rakyat negara ini khususnya masyarakat India serta Cina yang amat terkesan dengan perspektif atau persepsi tidak rasionalnya mengenai Malaysia yang beliau sendiri pernah pimpin selama 23 tahun.
Menurut Yuneswatan lagi, pihaknya juga menasihatkan Dr Mahathir serta watak-watak hipokrit yang selama ini bersekongkol dengan beliau agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan apa jua kenyataan berunsur diskriminasi perkauman.
"Sebaliknya, kita sebagai figura yang mewakili rakyat atas kapasiti masing-masing perlu menjadi ejen pendamai yang sentiasa menyampaikan kata-kata positif yang boleh mengikat lagi ikatan perpaduan sesama bangsa, agama dan etnik," katanya.




Comments