top of page

SEKPUR gerakkan kempen 'rakyat tolak kerajaan tebuk atap' - Mustapa Mansor

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Mustapa Mansor (tengah) mengecam percubaan mewujudkan kerajaan tebuk atap di Negeri Sembilan
Mustapa Mansor (tengah) mengecam percubaan mewujudkan kerajaan tebuk atap di Negeri Sembilan

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) memberi bayangan mahu menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama jaringan ratusan pempengaruh bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam gerakan ‘tebuk atap’ di seluruh negara.


Pengerusinya, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa berkata, kempen kesedaran agar rakyat menolak mana-mana individu atau parti yang didakwa bersekongkol dengan percaturan politik tersebut juga berada dalam perancangan pihaknya.


"Kita kena buat satu perbincangan (dengan) memanggil seramai mungkin NGO (dan bincang) apakah langkah konkrit misalnya kenal pasti siapa sahaja yang terlibat dalam proses tebuk atap ini.


"Apakah ia berbentuk peribadi? Maka kita kena buat tindakan berdasarkan lunas undang-undang dan kena menggunakan jentera kempen dan juga jaringan ratusan pempengaruh untuk meyakinkan rakyat agar tidak memilih mana-mana (individu atau pihak) yang terlibat dengan gerakan tebuk atap. Bukan sahaja di Negeri Sembilan, (tapi) di seluruh Malaysia.


"Mana-mana pihak apakah dia (dari) parti politik yang bersekongkol dengan berlakunya peristiwa tebuk atap juga akan dikenakan 'sangsi' oleh rakyat.


"Rakyat berhak untuk menyatakan pendirian, mereka nak pilih siapa kerana itu (merupakan) lunas undang-undang kita (dan juga) semangat demokrasi yang ada di Malaysia," katanya.


Beliau ditemui pemberita di perkarangan Istana Hinggap di Seremban sejurus selepas menyerahkan memorandum yang turut disokong bersama antaranya oleh Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO), Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis (PKOM), Pertubuhan Otai MADANI Pulau Pinang dan beberapa NGO lain.


Mengulas krisis politik yang sedang melanda negeri itu ketika ini, Mustapa mengingatkan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat tidak boleh dipermainkan.


"Kita tak boleh main (dengan) mandat rakyat. Mana-mana negara di dunia pun, kalau berlakunya perubahan-perubahan yang tidak mengikut saluran undang-undang, maka ia dilihat sangat memberikan kesan yang amat serius (fatal).


"Kalau di negara Barat, sudah tentu melimpah-limpah masyarakat (mereka) protes terhadap mana-mana perubahan yang tidak mengikut jalur undang-undang.


"Kita ada adat dan adab. Kalau di Negeri Sembilan ada Adat Perpatih banyak simpang siurnya dan kita (juga) ada adab," ujarnya lagi.


Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon pula menzahirkan kelegaan susulan krisis politik itu apabila rakan gabungan Kerajaan Perpaduan iaitu UMNO menegaskan bahawa tiada gerakan ‘tebuk atap’.


"Kenyataan daripada Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Setiausaha Agung UMNO) juga telah dibaca dan dilihat adil, bahawa segala perkara boleh kembali kepada status quo, dengan UMNO kekal berpegang kepada prinsip untuk tidak melakukan ‘tebuk atap’," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page