Undian RMK13: 'Ujian ke atas Kerajaan Madani esok, MP kerajaan perlu berkampung'
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 1 min read

Ahli Parlimen (MP) Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar), berpandangan bahawa pengundian usul menyokong Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) esok di Dewan Rakyat bakal menjadi ujian besar terhadap kedudukan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pengundian tersebut bukan sekadar rutin parlimen, sebaliknya mempunyai kesan langsung terhadap keabsahan kerajaan.
"Ini bukan perkara kecil. Bukan perkara main-main. Hal pengundian ini amat serius dan kesannya amat besar, jika RMK-13 itu ditolak oleh blok pembangkang dan bebas sama ada dalam undian suara ataupun undian belah bahagi petang esok," katanya dalam satu kenyataan media.
Hassan menegaskan sekiranya usul RMK-13 tewas dalam undian, kerajaan akan kehilangan kepercayaan Dewan Rakyat dan begitu juga perdana menteri.
"Jika kerajaan tewas esok dalam usul pembentangan RMK-13 ia bermakna kerajaan hilang keabsahan atau legitimasi. Kekalahan sedemikian rupa bermakna Perdana Menteri dan kerajaannya hilang kepercayaan di Dewan Rakyat," tegasnya.
Beliau mengingatkan bahawa peranan Ketua Whip Kerajaan, iaitu Timbalan Perdana Menteri Kedua, amat penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen kerajaan hadir dan mengundi menyokong usul tersebut.
"Ahli-ahli Parlimen kerajaan mesti berkampung esok di Dewan Rakyat untuk mempertahankan kerajaan," katanya.
Ujar beliau, dengan jumlah Ahli Parlimen pembangkang yang agak besar ketika ini pengundian tidak boleh dipandang ringan kerana ia mampu menentukan jatuh bangun kerajaan.
Tegas Hassan yang juga Ketua Biro Guaman KEADILAN Johor, pengundian esok tidak boleh dipandang 'enteng' kerana keputusannya boleh mengakibatkan masa depan Kerajaan Madani menjadi tidak menentu.