Oleh: Abdullah Zaid
Pengundi muda akan menjadi penentu kepada 6 negeri yang melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini
Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Adam Adli Abdul Halim mengingatkan pengundi muda untuk memilih calon serta gabungan parti paling baik untuk diangkat menjadi kerajaan.
Katanya, sekiranya pengundi muda gagal memanfaatkan kuasa mengundi, dikhuatiri hal itu akan membawa kesan buruk kepada pentadbiran Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Saya minta anak-anak muda kali pertama turun mengundi atau pengundi kali pertama, harus faham, kalau tersalah pilih kesannya bukan satu dua hari sahaja, tetapi kesannya adalah sepanjang penggal (lima tahun)," katanya dalam ceramah Jelajah Madani di DUN Sri Tanjung, Negeri Sembilan, malam tadi.
Oleh itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menyeru akar umbi gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional serta pengundi Negeri Sembilan memberi sokongan jitu kepada calon-calon yang ditawarkan daripada blok Kerajaan Perpaduan.
"Kita tahu track record Negeri Sembilan cukup cemerlang yang sepatutnya kita yakin ini adalah pilihan yang kita ada.
"Kita ada banyak perkara-perkara baharu dan agenda baik yang bakal dibawa oleh calon-calon Kerajaan Perpaduan.
"Bayangkan sebuah Dewan Undangan Negeri ada pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH-BN) yang bukan lagi bertelagah, tetapi sebaliknya duduk bersama berbincang soal rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, blok gabungan PH-BN Negeri Sembilan sepakat untuk mempertandingkan 36 kerusi DUN di Negeri Penuh Beradat itu secara bersama.
Jumlah DUN yang dipertandingkan PH ialah 19 kerusi manakala baki 17 kerusi DUN dipertandingkan oleh BN.
Commenti