
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru rakyat supaya mempertahankan maruah negeri dengan mengundi KEADILAN dan Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Beliau berkata, orang Sabah perlu bangkit mempertahankan negeri mereka yang cuba dirampas oleh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
"Selepas kita mengambil alih kerajaan, kita tukar cara tadbir dengan lebih baik, kita pulihkan kekotoran yang tinggal, sebab itu kerajaan Warisan cuba dicuri, ada orang nak rampas kuasa, mereka tidak senang dengan perubahan yang kita nak buat. Mereka takut kalau perubahan dibuat, nanti BN dan UMNO tidak boleh bangun-bangun lagi.
"Sebab itu mereka mencuri dan merasuah ADUN untuk merampas negeri, tapi belum sempat dia curi, kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk singkirkan pencuri sama seperti pada 2018.
"Ini bukan soal siapa jadi ketua menteri dan wakil rakyat, ini soal nasib dan maruah Sabah yang harus kita pertahankan.
"Mereka kacau negeri Sabah, mereka cuba beli orang lain. Saya percaya rakyat akan tolak pencuri PN dan BN sebaliknya memilih KEADILAN dan Warisan Plus," katanya ketika menghadiri ceramah di DUN Api-Api.

Amirudin juga berharap rakyat akan memilih calon yang benar-benar boleh mentadbir dengan amanah dan memastikan rakyat Sabah terbela.
"Ada yang ditawar duit sampai berjuta, bukan nak tolong rawat COVID-19 tapi nak jatuhkan kestabilan negeri.
"PRN ini maruah orang Sabah, masa depan orang Sabah. Kita perlukan lebih ramai pengundi yang akan memastikan calon ini adalah pilihan terbaik untuk kembalikan maruah Sabah yang dicuri orang yang gila kuasa," katanya.
Amirudin mengadakan jelajah selama empat hari di Sabah bagi memberikan sokongan kepada calon KEADILAN.
Beliau tiba di Kota Kinabalu semalam dan memulakan kempen dengan memberikan sokongan kepada calon KEADILAN DUN Api-Api, Christina Liew.
"Christina sudah berada dalam penggal ketiga dan walaupun mereka mahu rampas kejayaan, orang akan kekal sokong KEADILAN untuk pastikan rakyat dapat kekalkan Sabah dan halau mereka yang cuba mencuri hasil negeri ini.

"Kerajaan Warisan baru dua tahun buat rancangan, tapi Christina tunjukkan kepada saya bagaimana pelancongan berkembang di negeri ini.
"Tahun 2019 negeri yang membawa pulang pendapatan pelancongan paling banyak datang dari Sabah, nombor dua Pulau Pinang dan nombor tiga Selangor. Sebab itu cukai yang kembali ke Sabah sangat besar, ini kejayaan dan hasil kita buat.
"Tapi dua tahun belum cukup, kali ini tolong beri peluang kepada calon sekali lagi. Sabah ketika ini sedang pulihkan negeri daripada luka-luka lepas akibat kerosakan dan kesilapan lalu.
"Kuasa bukan di tangan orang politik, bukan kalangan ahli parlimen, kuasa kembali ke rakyat Sabah. Pertahankan maruah sabah, maruah rakyat Malaysia dan nasib orang Sabah, pastikan sokong KEADILAN dan Warisan Plus di Api-Api, pastikan Christina kembali menjadi wakil rakyat," katanya.