Undi dengan bijak, bukan kerana "ada manis-manis" - AMK
- Suara Keadilan

- Nov 28, 2025
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Rakyat Sabah bebas memilih pemimpin yang mereka mahu namun jangan sampai menggadaikan masa depan wilayah itu dengan "manis-manis" sementara, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Kamil Munim.
Beliau mengingatkan rakyat negeri tersebut agar tidak mengulangi perbuatan yang sama berkali-kali kerana ia tidak akan mendapat hasil yang lebih baik.
"Saya tekankan kepada jentera bahawa kita harus bertemu dengan seramai mungkin pengundi kerana mereka juga manusia dan punya akal untuk menilai, tidak mudah tewas dengan"manis-manis", juga janji-janji manis.
"Air, jalan dan karan (AJK) masih menjadi masalah utama yang membelenggu banyak kawasan di wilayah ini," katanya dalam hantaran di Facebook, sebagai rayuan terakhir kepada 1.7 juta pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka esok.
Terdahulu Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkongsi pengalamannya bersama anggota sayap parti berkampung di Sabah sejak tiga minggu lalu
"Musim pilihan raya sama seperti hari raya. Kita akan menjelajah masuk ke seluruh kampung, bertemu saudara, bertanya khabar, melihat sendiri kehidupan masyarakat setempat. Banyak yang perlu diperbaiki, khususnya di kawasan desa dan pedalaman," ujarnya.
Namun beliau yang membantu calon Pakatan Harapan kerusi Bandau, Zaidi Jatil berkata terdapat segelintir rakan-rakan dari parti tempatan menegur cara mereka berkempen itu menyalahi kebiasaan masyarakat.
"Salah ba cara kau ni. Masuk kampung, ceramah-ceramah ini, menyantuni masyarakat, ziarah rumah ke rumah, orang tidak peduli ba.
"Cara di Sabah ini lain ba berbanding semenanjung. Bukan begini ba cara kau menang," ujar Kamil mengulangi kata- kata yang diungkap kepadanya oleh anggota parti lokal itu.
Apabila ditanya cara untuk menang pilihan raya, Kamil berkata rakan-rakan dari parti lokal itu menjelaskan jentera parti hanya bergerak dua hari sebelum pengundian.
Kata beliau, mereka dijelaskan bahawa sebelum hari pengundian "ada manis-manis" dan orang ramai mahu bergembira.
"Saya sedih dengan kenyataan itu seolah-olah orang di kawasan ini direndahkan keupayaan intelek mereka untuk berfikir oleh orang-orang tempatan sendiri.
"Barangkali pemikiran atau stigma itu terbentuk akibat budaya begitu yang lama berakar dalam kehidupan masyarakat setempat bilangkali menjelang pilihan raya," kata beliau.
Kamil berkata beliau tidak percaya sepenuhnya perkara itu sebaliknya yakin orang Sabah boleh berfikir dengan waras dan membuat penilaian dengan bijak.
Jelasnya proses pengundian esok adalah hari penting bagi orang Sabah bagi menentukan hala tuju wilayah mereka bagi tempoh lima tahun akan datang.
"Selamat mengundi buat warga Sabah. Moga Tuhan merahmati dan memberkati wilayah ini yang sarat dengan hasil mahsul buminya yang akan ditadbir oleh pemimpinnya yang adil, saksama dan penuh amanah demi kebaikan masa depan warga dan wilayahnya," katanya.









Comments