Oleh: Abdullah Zaid
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan penguasaan di DUN Mahkota apabila calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah menang di kerusi tradisi itu dengan majoriti besar undi.
Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang secara tidak rasmi meraih 27,941 undi berbanding 7,332 menewaskan seterunya Haizan Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan 20,609 undi.
Wakil rakyat Perpaduan itu meraih kemenangan dengan peratus keluar mengundi 47.16% daripada 66,318 pengundi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.
Undi majoriti yang meningkat daripada Pilihan Raya Negeri 2022 dikatakan akibat faktor pertambahan undi dari penyokong Pakatan Harapan yang kali ini bersatu padu di bawah Kerajaan Perpaduan.
Berdasarkan rekod, DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN.
PRK DUN Mahkota ialah PRK keempat tahun ini selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).
Comments