Undang-undang ONSA mesti dipatuhi secara tegas, lindungi kanak kanak
- Noraini Nordin

- 1 hour ago
- 2 min read

ULASAN BERITA: Mengapa undang-undang Online Safety Act (ONSA) diperkenalkan di negara kita?
Media sosial bukan saja mengubah banyak aturan dalam kehidupan manusia, tetapi juga memberi lebih ancaman kepada kehidupan seharian.
Paling membimbangkan ialah ancaman kepada golongan remaja, terutama gadis bawah umur yang melibatkan kejadian rogol dan jenayah seksual.
Dalam satu kes, seorang remaja berusia 15 tahun telah menjadi mangsa rogol kepada lelaki yang dikenali melalui TikTok.
Dalam kes lain, seorang lelaki warga asing telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan selepas merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sembilan bulan yang dikenali melalui TikTok.
Dalam kedua-dua kejadian, semuanya didapati bermula dengan media sosial.
Dengan suspek hanya mengenali mangsa melalui aplikasi media sosial, ia seterusnya membawa kepada hubungan yang lebih mesra, kemudian diajak mengikutnya meninggalkan rumah dan akhirnya berlakunya tragedi kepada kehidupan gadis muda yang sepatutnya ketika itu digunakan untuk membina masa depan lebih baik.
Risiko serius
Semua ini menunjukkan hubungan dalam talian tanpa kawalan antara orang dewasa dan remaja mempunyai risiko yang serius.

Ia bukan sekadar isu keselamatan kanak-kanak dan remaja atau perlakuan jenayah, tetapi juga mencerminkan kegagalan sistemik dalam melindungi anak-anak daripada risiko pemangsa dan pengaruh buruk di media sosial.
Di sinilah mengapa perlunya ONSA diperkenalkan untuk melindungi mereka yang sepatutnya dilindungi.
ONSA diperkenalkan untuk mengawal selia penggunaan platform digital, termasuk keselamatan kanak-kanak dan pelaksanaan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan internet.
ONSA memberi kuasa kepada pengawal selia untuk memastikan platform bertanggungjawab dalam pencegahan grooming, eksploitasi dan kandungan berbahaya dalam talian.
Sebab itulah di undang-undang ONSA yang diperkenalkan di Malaysia di mana remaja bawah usia 16 tahun di larang daripada memiliki akaun media sosial.
Undang-undang yang bermula tahun 2026 itu sebagai langkah untuk meminimumkan pendedahan kepada bahaya digital, termasuk pemangsa seksual dan kandungan berbahaya.
Wajib dipatuhi secara tegas
Tanpa had umur minimum yang wajib dipatuhi secara tegas, remaja masih boleh terdedah kepada risiko berkomunikasi dengan orang dewasa yang tidak dikenali secara peribadi.
Undang-undang semasa menyatakan bahawa hubungan seksual dengan individu bawah umur adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, tanpa mengira faktor persetujuan.
Seiring dengan itu, usaha global juga menunjukkan negara lain turut mempertimbangkan had umur penggunaan media sosial kerana kebimbangan kepada keselamatan kanak-kanak.
Yang penting, selain semua daripada kita wajib menyokong undang-undang ONSA, kita juga patut bertanggungjawab memastikan ia benar-benar dikuatkuasakan dalam setiap keluarga.




Comments