Undang-undang anti Ali Baba dibentang hujung tahun ini
- Suara Keadilan
- Feb 29, 2024
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan mensasarkan untuk membentangkan undang-undang anti-Ali Baba di Dewan Rakyat pada penghujung tahun ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata undang-undang itu yang juga dikenali sebagai akta “anti-rent seeking” bagi membolehkan tindakan diambil terhadap rakyat tempatan yang “menyewakan” lesen perniagaan kepada pekerja asing.
Pihaknya kini dalam proses melaksanakan kajian bagi menyediakan kerangka akta berkenaan.
"Proses penyediaan draf akta ini akan dilaksana dengan mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan.
"Tujuannya adalah bagi mendapatkan perspektif yang jelas tentang isu berkaitan ‘Ali-Baba’ kerana isu ini merentasi pelbagai sektor serta tindakan undang-undang yang bersesuaian," katanya menerusi jawapan kepada pertanyaan lisan seperti disiar di laman sesawang Parlimen.
Komuniti perniagaan pada Disember lalu membuat gesaan agar undang-undang anti-Ali Baba diperkenal, bagi menyelamatkan ekonomi warga tempatan yang didakwa semakin diancam warga asing.
Mereka mendakwa undang-undang sedia ada termasuk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) “kurang taring” sehingga menyaksikan sebilangan kawasan sektor perniagaannya dikuasai pendatang asing.
Comments