top of page

Umno Terengganu bersama PN tetapi tidak mampu beraksi



Oleh: CheguSyed


Ketika mana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus didominasi oleh Parti Peribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu dalam pelbagai urusan pentadbiran, Umno kelihatan tersisih dan berterusan tersorok dalam sebuah kerajaan yang kononnya Kerajaan “Melayu-Islam” yang paling ideal di dunia ketika ini.


Umno dahulunya gah dan selalu kelihatan hebat rupa-rupanya bukanlah pejuang tulen bagi orang-orang Melayu. Para pemimpinnya masih lagi bergantung kepada pangkat dan sumber kewangan dalam pentadbiran kerajaan untuk terus bernafas dan hidup.


Wang dan kuasa seperti oksigen bagi kehidupan Umno. Tanpa dua elemen ini, Umno rebah dan tersungkur serta hampir mati. Oleh sebab itulah Umno tidak boleh hidup tanpa wang dan kuasa. Mereka akan meracau dan mengacau jika tidak diberikan wang dan kuasa.


Kehilangan semangat


Rakan-rakan Umno yang saya kenali kini berjalan seperti orang hilang semangat. Mereka tidak segirang dan seriang dahulu apabila berjumpa di kedai-kedai kopi melainkan menumpang sedikit sisa tuah Perikatan Nasional di pusat. Mereka tidak lagi ghairah bercakap soal Ketuanan Melayu apatah lagi bercakap soal membantu mengurangkan derita rakyat.


Di Terengganu mereka tidak berkongsi kuasa dengan rakan sekedudukan Pas, sebagaimana di pusat. Mereka seolah-olah melukut ditepi gantang. Mahu dikatakan mereka tidak bersama, mereka memang bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional. Hendak dikata mereka bersama, mereka tidak pula bersama dalam kerajaan Terengganu di bawah penguasaan Pas.


Secara peribadi, saya boleh katakan Umno telah hilang jati diri dengan maruah yang tercalar. Hala tuju tidak jelas dan perjuangan mereka lebih kepada mengejar kedudukan pangkat, kuasa dan wang. Kedudukan dan keadaan Umno Terengganu kini seolah-olah sebuah parti yang tidak berpaksi atau tidak berpendirian tetap.


Kerajaan tidak, pembangkang pun tidak


Mereka bukanlah sebahagian dari kerajaan negeri dan mereka juga tidak pembangkang. Mereka tidak tahu peranan mana yang sepatutnya untuk mereka. Jika hendak jadi sebahagian dari kerajaan, jadi kerajaan betul-betul dan bukannya duduk di “lambor” rumah. Jika mahu jadi pembangkang, jadi pembangkang betul-betul perjuangkan nasib rakyat.


Parti seperti Umno ini tidak boleh menjadi harapan kepada rakyat Terengganu kerana mereka sendiri tidak mempunyai hala tuju yang jelas tentang perjuangan di hadapan. Mereka keliru dan “berbolok wok”. Mereka tidak pasti sama ada untuk terus mengekalkan kuasa dan sumber kewangan demi pemimpin mereka di pusat atau untuk berbakti dengan ikhlas kepada rakyat Terengganu.


Justeru, Umno Terengganu bukanlah pilihan yang terbaik buat rakyat Terengganu masa kini. Mereka seperti ibarat ayam jantan yang dibuli pasangan hasil perkahwinan sangkut. Bersama tetapi tidak mampu beraksi. Saya doakan Umno Terengganu kembali bangkit sama ada sebagai lawan atau kawan yang lebih berwibawa kepada Parti Keadilan Rakyat Terengganu, dan untuk rakyat Terengganu.


__________________________________________________________________________________


Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Terengganu

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page