Umno, Pas hipokrit: Mana pembelaan kematian Adib?


Hari Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei lalu. Hari Bomba mengingatkan rakyat Malaysia kepada kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang terbunuh dalam rusuhan berhubung isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya pada 26 November 2018. Sejak detik itu, isu kematian Adib dijadikan isu perkauman India - Melayu oleh Umno dan Pas. Kedua-dua parti itu mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas cuba melindungi sesuatu. Hari ini, selepas dua bulan kerajaan Melayu Perikatan Nasional (PN) memerintah anehnya kes Adib senyap begitu sahaja. Malah pada Hari Bomba yang lalu dilaporkan bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid mengemukakan representasi kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi mendapatkan tindakan lanjut serta kedudukan inkues yang dijalankan sebelum ini dalam memberi keadilan kepada anaknya. Dalam hal ini bapa Adib kelihatan seolah-olah bersendirian, timbul pertanyaan di manakah Umno dan Pas selepas berkuasa? Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid episod ini jelas menunjukkan gabungan Mufakat Nasional tersebut tidak ikhlas membela kematian Adib. Tambahnya, setelah berjaya mendapat kuasa dengan mempolitikkan isu kematian, dua parti politik Melayu itu bertukar menjadi sebaliknya. "Sebelum ini bukan main lantang dan provokasinya (Pas dan Umno) mahu kita (PH) siasat kes kematian Adib dan membela keluarga arwah. Tetapi bila mereka jadi kerajaan tidak timbul pun isu untuk menyiasat kes ini. "KDN (Kementerian Dalam Negeri) adalah Perdana Menteri sekarang ini, Menteri yang bawa kes ini pun masih orang yang sama, jadi apa isunya? Ia sentimen retorik sahaja, terlalu hipokrit dan jahat, itulah perangai sebenar Pas dan Umno. "Sekarang kita tengok sejauh mana perjuangan mereka kononnya membela keluarga arwah Adib ini, apa mereka buat? Masa bapa Adib pergi ke Peguam Negara kenapa mereka tak ambik tindakan (membantu) seterusnya menyiasat kes?" soalnya ketika dihubungi Suara Keadilan. Pada masa sama, Abdullah Sani juga mempersolakan sama ada pemimpin Pas dan Umno sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga dalam membantu keluarga Adib untuk mendapatkan keadilan. "Ke mana semua pemimpin-pemimpin Pas dan Umno? Kenapa mereka tidak muncul membantu? Zaman PH jadi kerajaan macam-macam dipropagandakan, kononnya PH cuba lindungi kematian Adib, khianat keluarga arwah. Bila mereka jadi kerajaan, senyap. "Mereka ini gunakan nama Melayu dan Islam saja. Pas dan Umno cakap besar. Mereka tak ada objektif perjuangan pun, yang difikirkan adalah siapa akan jadi menteri atau timbalan menteri, fikir poket masing-masing," tambahnya. Abdullah Sani turut mencabar kerajaan PN menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja sebagaimana yang dituntut oleh sesetengah ahli politik Pas dan Umno sebelum ini. "Kalau dulu tuntut tubuh Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk siasat, kata mereka ada unsur-unsur pembunuhan juga menghina Melayu dan Islam, sekarang sudah jadi kerajaan, mana suruhanjaya itu? "Jelas mereka ini gunakan nama Melayu dan Islam semata-mata untuk dapatkan keyakinan rakyat," bidas Abdullah. Untuk rekod, Kerajaan PN belum lagi membuat sebarang kenyataan mengenai tindakan lanjut ke atas kes Adib sepanjang dua bulan lalu. Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 telah memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

1 comment

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio