UMNO-Pas di Melaka: Konsistensi pendirian politik Dr Akmal dipersoal
- 39 minutes ago
- 2 min read

Pengarah Strategi KEADILAN Negeri Melaka, Radzmin Roslan mempersoalkan perubahan pendirian Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh, berhubung isu kerjasama politik di negeri itu.
Menurut beliau, sebelum ini Dr Akmal pernah menyatakan bahawa KEADILAN hanya boleh menuntut dua kerusi DUN, iaitu Sungai Udang dan Bemban di Melaka dan kedudukan itu masih perlu dibincangkan di meja rundingan.
"Namun hari ini (semalam) dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ nadanya sudah berubah apabila secara terbuka mengajak Pas untuk bersama (kerjasama politik).

"Sama juga sebelum ini kata nak letak jawatan, alih-alih masuk pejabat lagi," katanya dalam satu kenyataan.
Radzmin berkata, perubahan pendirian yang drastik itu menimbulkan persoalan besar terhadap konsistensi prinsip dan hala tuju politik UMNO, juga Dr Akmal sendiri di Melaka.
"Jika sebelum ini ruang dikatakan terhad (kerjasama dengan Pas), bagaimana pula kini boleh terbuka luas?
"Apakah ini benar-benar soal prinsip perjuangan, atau sekadar strategi untuk menyelamatkan kelangsungan politik?" soalnya.
Beliau mendakwa, ajakan penyatuan Pas-UMNO dalam keadaan sokongan kepada isu Melayu semakin merosot hanya akan memberi gambaran bahawa keyakinan rakyat Melaka terhadap UMNO semakin terhakis.
Lebih lagi, katanya, apabila terdapat beberapa kes yang menyangkut ahli UMNO Melaka.
Oleh itu, kata beliau, penyatuan hanya dilihat sebagai survival politik, bukan untuk membela Melayu.
Sehubungan itu, Radzmin mengingatkan bahawa politik bukan hanya sekadar soal angka dan kerusi, sebaliknya menuntut konsistensi, maruah rundingan serta kejujuran kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
"Jangan kerana terlalu ghairah mengejar bayang-bayang, akhirnya yang dipegang terlepas satu persatu," katanya.
Untuk rekod, Melaka dijangka akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hujung tahun ini. Pada peringkat pusat, Kerajaan Perpaduan dijangka akan mengulangi formula kerjasama Pakatan Harapan - BN sebagaimana PRN enam negeri pada Ogos 2023 lalu.
Bagaimanapun, Dr Akmal mencuri tumpuan apabila mengumpan UMNO untuk menolak kerjasama Kerajaan Perpaduan, sebaliknya cuba membawa naratif Melayu dengan menjalin hubungan bersama Pas pada PRN kelak.





