Ramanan umum penjenamaan semula MiSI 2.0, peruntukan diganda
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Program Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI) 2.0 kini dijenamakan semula sebagai Vetri MADANI, dengan komitmen peruntukan berganda bagi memperluas program latihan kemahiran kepada belia India, khususnya golongan B40.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata penjenamaan itu dibuat susulan kejayaan MiSI 2.0 yang menyaksikan peserta menerima tawaran gaji kompetitif antara RM3,000 hingga RM7,500 selepas menamatkan latihan.
"Buat masa ini, peruntukan yang disediakan melalui Talent Corp ialah RM4 juta.
"Saya beri jaminan peruntukan ini akan digandakan, namun kajian terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti jumlah permintaan sebenar," katanya dalam satu sidang media pada Khamis.
Beliau sebelumnya menghadiri Majlis Graduasi MiSI 2.0 yang menyaksikan 300 belia India berjaya menamatkan latihan kemahiran.
MiSI 2.0 menyediakan latihan kemahiran percuma berasaskan pencapaian hasil, dengan jaminan peluang pekerjaan selepas tamat latihan
Ia merupakan inisiatif Kerajaan MADANI untuk memperkukuh dan memperkasa mobiliti sosial dan ekonomi komuniti India.
Ramanan sementara itu berkata, menerusi pelaksanaan program yang diperkemas di bawah jenama baharu Vetri MADANI, beliau yakin kadar gaji ditawarkan kepada peserta berpotensi lebih tinggi berdasarkan kepada sektor yang diceburi.









Comments