top of page

Anti-Cina: Dr Akmal boleh diberi peluang, jangan lagi cetus ketegangan

  • 3 hours ago
  • 1 min read


Oleh: Akmal Manaf


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dinasihatkan agar mengubah pendekatan dan mengelakkan daripada membangkitkan isu-isu kontroversi demi mempertahankan semangat perpaduan yang telah sekian lama dibina di negara ini.


Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Jalex Lee (gambar) berpendapat, jika Dr Akmal sebagaimana yang dinyatakannya dalam siri podcast "Keluar Sekejap" bahawa beliau tidak anti Cina tetapi menolak politik DAP, maka beliau perlu membuktikannya.


Sebelum ini, kata Jalex Lee, Dr Akmal memang dilihat bermasalah dengan kaum Cina kerana isu isu yang beliau bawa tidak dilihat oleh komuniti berkenaan sebagai politik DAP semata mata.


"Kenyataan Akmal yang menafikan sikap anti-Cina dilihat tidak mencerminkan keikhlasan sebenar dan lebih bersifat persepsi politik semata-mata.


"Pelbagai kes kontroversi sebelum ini, termasuk isu sarung kaki tertera perkataan 'Allah' serta insiden individu bergelar 'apek' yang menggantung Jalur Gemilang secara terbalik, tidak ditangani dengan pendekatan yang mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.


"Pendekatan sedemikian bukan sahaja gagal meredakan keadaan, malah terus mencetuskan ketegangan," katanya dalam satu kenyataan.


Jalex berkata, kegagalan Dr Akmal untuk memohon maaf di samping tindakan mempersoalkan secara tidak terkawal isu berkaitan hanya menambah api kepada masalah yang sedia wujud.


Kesemua insiden itu katanya, telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Cina khususnya terhadap sikap yang dilihat keras dan tidak bertoleransi.


Bagaimanapun, kata Jalex, sekiranya Akmal mahu mengubah pendirian maka hal itu dialu alukan dan masyarakat Cina boleh memberi peluang kepadanya.


"Namun demikian, jika Akmal benar-benar ikhlas dengan kenyataannya, ruang dan peluang wajar diberikan selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan perpaduan agar beliau dapat membuktikan keikhlasan tersebut melalui tindakan dan perubahan sikap," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page