Bertentangan dengan keazaman politik Umno yang berkeras mahu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 biar pun rakyat tenggelam di dalam banjir, KEADILAN Selangor mengumumkan kesiap siagaan anggota menghadapi banjir musim tengkujuh pada November.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor, Azmizam Zaman Huri, amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa akan berlaku banjir besar ekoran hujan lebat berterusan mulai pertengahan November akan diambil serius dan langkah langkah khusus persediaan akan dilakukan.
Katanya, malapetaka banjir yang melanda Selangor pada Disember 2021 telah banyak memberi iktibar tentang perlunya persediaan rapi menghadapi impak banjir dan pasca banjir.
"Ini berikutan keadaan ketika itu cukup menginsafkan dan menuntut persediaan rapi bagi mengelakkan berlakunya situasi tidak diingini terutama berkaitan mobilisasi agensi berkaitan dalam memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan bantuan selepas air surut.
"Datuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengadakan latihan simulasi bencana banjir selama dua hari bermula minggu hadapan, selain peruntukan khas bagi menambah peralatan seperti bot, jentera dan petugas dalam persiapan menghadapi bencana tersebut," katanya.
Tambah ADUN Pelabuhan Klang itu, KEADILAN negeri Selangor pula melihat persediaan Kerajaan Negeri merupakan langkah tepat bagi mengelakkan segala kelemahan dalam pengurusan banjir sebagaimana dialami tahun lalu.
"KEADILAN Negeri Selangor melihat langkah ini adalah cukup tepat dan membuktikan Kerajaan Negeri mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kegilaan sesetengah parti politik yang rakus merebut kuasa mendesak PRU diadakan secepat mungkin.
"KEADILAN Selangor juga akan menggerakkan kekuatan anggota di 22 Cabang seluruh negeri bagi memastikan sukarelawan parti membantu agensi serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memudahcara urusan pengagihan bekalan keperluan asas kepada mangsa banjir yang terlibat di PPS, selain urusan membersihkan kediaman yang terkesan," katanya.
Justeru, beliau mengajak rakyat Malaysia bersama sama melakukan setiap langkah pencegahan dan berdoa semoga seluruh rakyat negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya dipermudahkan urusan dalam mendepani bencana.
Comments