UMNO kurang kerusi jika bersama Pas dalam Muafakat Nasional
- Suara Keadilan
- 58 minutes ago
- 1 min read

UMNO perlu menilai kedudukan masa depan parti itu secara menyeluruh jika berhasrat bertaut semula bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) seperti sebelum ini.
Ketua Cabang KEADILAN Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad (gambar) memberi peringatan itu sebagai mengulas cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh agar kerjasama MN dihidupkan semula.
"Jangan ikut cakap Dr Akmal, dia hanya fikir kepentingan dirinya dan UMNO di Melaka sahaja
"Dia tidak peduli nasib UMNO di tempat lain seperti di Perak, Selangor, Negeri Sembilan atau Pulau Pinang," katanya dalam satu muat naik di media sosial.
Dr Akmal pada Khamis mengesyorkan MN dihidupkan semula selang beberapa hari mendesak partinya menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ADUN Merlimau itu sebelumnya dilapor tidak berpuas hati atas satu hantaran media sosial Ahli Parlimen DAP berhubung keputusan mahkamah berkaitan adendum Datuk Seri Najib Razak.
Wan Fauzuldin sementara itu menyifatkan saranan Dr Akmal hanya akan merugikan dan melemahkan UMNO.
Memandangkan Pas dan parti Bersatu juga menumpukan kepada kawasan majoriti Melayu seperti UMNO, kerjasama dalam MN tegasnya bukan satu keputusan yang bijak.
"Jika UMNO bergabung dengan Pas, adakah mereka juga akan menuntut kerusi majoriti Melayu? Jangan harap Pas akan menyerahkan kerusinya kepada UMNO.
"Berbaloikah hanya kerana bergaduh antara Dr Akmal dengan seorang dua pemimpin kecil DAP maka UMNO memilih sediakan liang lahad buat partinya?
"UMNO tentu bijak untuk menilai baik buruknya kekal bersama Kerajaan MADANI," tambahnya.





