top of page

UMNO kekal dalam kerajaan: Keputusan matang, berwawasan - Dr Gunaraj

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Rakyat tidak wajar sekali lagi dibebani ketidaktentuan politik berikutan desakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh supaya parti itu menarik diri dari Kerajaan Perpaduan.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George (gambar) berkata, beliau mengalu alukan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang memutuskan akan mengekalkan kestabilan politik dengan memutuskan partinya terus kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan memerintah.


"Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri I (TPM I) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepimpinan berprinsip dan ketegasan beliau dalam mengekalkan komitmen Barisan Nasional (BN) untuk terus bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.


"Keputusan ini adalah tepat, berwawasan dan berpaksikan kepentingan negara. Dalam situasi semasa, negara tidak wajar 'menggoncang' perahu.


"Kestabilan politik merupakan asas penting bagi menjamin kesinambungan dasar, pemulihan ekonomi, keyakinan pelabur serta kebajikan rakyat terus terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Selain itu, Dr Gunaraj turut menzahirkan pengiktirafan terhadap gandingan kepimpinan yang mantap antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zahid serta Datuk Seri Fadillah Yusof yang telah membuktikan keserasian, kematangan serta keupayaan menyelaras pentadbiran negara secara berkesan.


"Kombinasi kepimpinan ini memperkukuh tadbir urus, mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan serta mengekalkan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.


"Sehubungan itu, kami menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Kerajaan Perpaduan untuk menolak sebarang langkah yang boleh menggugat kestabilan sedia ada, di samping terus menggalakkan dialog yang matang dan konstruktif demi kepentingan rakyat serta masa depan Malaysia," ujar beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.


Untuk rekod, pada 2 Januari lalu, Dr Akmal menyeru agar pemimpin UMNO mempertimbang untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan bergerak sebagai pembangkang bersama Pas, mengembalikan pakatan Muafakat Nasional 2.0.


Hal itu, menurut Akmal akan mengembalikan maruah orang Melayu yang kononnya dicabuli oleh parti bukan Melayu dalam Kerajaan Perpaduan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page