top of page

UMNO jadi 'rakan kecil' Pas jika MN dihidupakan semula - Penganalisis

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Cadangan sebahagian pemimpin UMNO supaya parti itu kembali membentuk Muafakat Nasional (MN) bersama Pas dilihat lebih bersifat reaktif dan didorong emosi, bukan hasil pertimbangan strategik.


Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar) berpandangan, fakta asas yang tidak boleh dinafikan sepanjang tertubuhnya MN (2019 - 2022) ialah Pas dan UMNO tidak pernah benar-benar bersepakat dalam Pilihan Raya Umum (PRU), bukan kerana perbezaan ideologi sebaliknya kegagalan mencapai persetujuan dalam agihan kerusi.


"Dalam PRU, Pas mahukan dominasi kerusi, manakala UMNO enggan menjadi 'rakan kecil' di kawasan tradisinya sendiri.


"Menghidupkan semula MN menyusahkan UMNO atas tiga sebab utama iaitu UMNO berisiko kehilangan ruang pemulihan. MN akan mengikat UMNO kepada kekuatan Pas yang sedang dominan, sekali gus menjadikan UMNO 'junior partner' dalam blok Melayu-Islam.


"Pas juga tidak (begitu) memerlukan UMNO seperti dahulu (2020 - 2022) kerana prestasi Pas dalam PRU15 lalu membuktikan Pas boleh menang tanpa UMNO, menjadikan rundingan kerusi (bakal) tidak seimbang," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau diminta mengulas mengenai cadangan daripada pemimpin UMNO seperti Ketua Pemudanya, Datuk Dr Akmal Salleh agar mewujudkan semula MN bersama Pas selepas kemelut politik yang berasal daripada kes bekas Presiden UMNO, Najib Razak yang dipertikaikan.


Mengulas lanjut katanya, isu politik yang melanda parti kerajaan pada waktu ini tidak sewajarnya diselesaikan dengan hanya cadangan mengembalikan paksi politik yang telah gagal beberapa tahun lalu.


"Maka mencadangkan MN sebagai 'jawapan' adalah salah diagnosis terhadap masalah sebenar.


"Ringkasnya, MN hari ini lebih menguntungkan Pas, tetapi bukan UMNO," ujar ahli akademik itu lagi.


Kebelakangan ini, segelintir pemimpin UMNO menguar uarkan idea untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan bergabung semula bersama Pas dengan menghidupkan semula MN.


Masalahnya, pemimpin UMNO berkenaan tidak pula memberi jaminan Pas akan meninggalkan Perikatan Nasional sekiranya MN dihidupkan kembali.


Sekiranya Pas bermain 'dua kolam', maka UMNO akan menghadapi kerugian besar dalam percaturan strategi kerana terpaksa bertembung menghadapi Bersatu-PN dalam mempertahankan kerusi Melayu, biarpun Pas tidak bertanding di kawasan UMNO bertanding. Manakala ahli Pas bebas untuk membantu Bersatu atau UMNO.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page