Umno dalam kerajaan buat apa, 'cerminlah diri' - Syed Ibrahim



Tindakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyalahkan kebebasan rakyat memilih dalam Pilihan Raya Umum 2018 lalu sehingga menyebabkan krisis politik hari ini dikecam banyak pihak.


Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, rakyat tidak boleh dipersalahkan memilih Pakatan Harapan yang mahu membawa perubahan. Sebaliknya, kata Syed Ibrahim, Perikatan Nasional (PN) 'menebuk atap' di tengah jalan menyebabkan perubahan yang dijanjikan tidak berlaku.


Katanya, Zahidi lebih maklum untuk menjawab kenyataannya sendiri memandangkan beliau adalah menteri Kerajaan PN dan boleh membetulkan keadaan.


"Kenyataan Datuk Zahidi baru-baru ini merupakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan memalukan.


"Dalam video yang tular itu, beliau menyebut bahawa keadaan “politik 50-50” sekarang yang menyebabkan pelabur tidak datang dan ekonomi negara tidak baik adalah salah rakyat yang turun mengundi sewaktu PRU-14. Beliau turut mengatakan bahawa keputusan yang dibuat rakyat itu adalah salah dan orang politik yang perlu perbetulkan keadaan.


"Saya menyarankan agar Zahidi mengambil peluang untuk mencermin diri, adakah beliau sendiri sudah memperbetulkan keadaan? Dengan pelbagai kenyataan, peristiwa dan usaha yang acuh tidak acuh sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, adakah beliau berhak untuk meletakkan keadaan sekarang ke atas pundak rakyat?" tanya Syed Ibrahim dalam satu kenyataan.


Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor itu rakyat tidak lupa gelagat Zahidi dalam berhadapan isu terkait Veveonah Mosibin baru-baru ini yang terpaksa memanjat pokok untuk menjawab soalan peperiksaan kerana akses internet yang buruk di pendalaman Sabah.


"Saya juga yakin yang rakyat tidak lupa kenyataan beliau untuk mengusahakan internet percuma di IPT sedangkan kebanyakan IPT sudah mewujudkan kemudahan ini.


"Selain itu, rakyat juga makin cakna dengan kelemahan kerajaan PN dalam menguruskan isu capaian internet terutamanya di kawasan luar bandar yang membawa kepada banyak isu lain.


"Tidak kurang juga isu berita-berita palsu yang tersebar, fenomena penipuan atas talian yang semakin membimbangkan. Adakah beliau mahu meletakkan punca masalah-masalah ini pada rakyat?" tanyanya lagi.


Sehubungan itu, Jurucakap Teknologi Digital, Telekomunikasi dan Pengangkutan KEADILAN itu menasihatkan Zahidi berhenti daripada terus menyalahkan rakyat sekiranya beliau sendiri tidak mampu untuk memperbaiki keadaan.


"Cukuplah menyalahkan rakyat Yang Berhormat Timbalan Menteri. Rakyat yang melaksanakan amanah membuang undi untuk mengangkat demokrasi tidak salah.


"Kerajaan yang hanya bermain politik, tidak serius mengambil berat isu terkait rakyat dan meletakkan kesalahan pada pihak lain inilah yang bersalah dan tidak bertanggungjawab," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio