UMMu 2025: Dr Wan Azizah tekankan kekuatan wanita dalam institusi keluarga
- Suara Keadilan

- Dec 10, 2025
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah menyeru wanita supaya yakin dengan potensi diri dan tabah menghadapi cabaran hidup, terutamanya dalam mengimbangi peranan sebagai isteri, ibu dan kerjaya.
Berucap pada Usrah Mega Muslimah (UMMu) 2025 di Putrajaya pada Selasa, Dr Wan Azizah mengingatkan bahawa setiap ujian dalam hidup adalah sebahagian daripada ketentuan Allah dan wanita perlu bersabar serta bergantung kepada-Nya untuk menempuh cabaran itu.
"Antara cabaran utama yang kita hadapi adalah isu kekeluargaan yang bermula di rumah. Wanita, terutamanya para isteri dan ibu, memainkan peranan besar dalam memastikan wujudnya keharmonian antara suami dan isteri serta dalam membina keluarga bahagia.
"Dengan program seperti UMMu 2025 ini, insya-Allah kita dapat memperkukuh institusi keluarga dan seterusnya membangunkan masyarakat Madani," katanya dipetik.
Program julung kali diadakan itu bertujuan menyemarakkan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga dalam kalangan petugas wanita agensi agama.
Memberi tumpuan kepada pengisian yang merangkumi pembinaan keluarga, kesejahteraan emosi, serta pengukuhan peranan wanita sebagai ejen keharmonian masyarakat, ia turut menekankan keindahan al-Quran sebagai terapi jiwa serta memberi pendedahan tentang cara mengatur keutamaan hidup.
Mengangkat 'Akhirnya Sempurna', program turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee serta Presiden Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama merangkap Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Datuk Mohd Ajib Ismail.
Sementara itu menerusi ucapannya, Dr Wan Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada dedikasi penjawat awam khususnya wanita.
Beliau menyatakan sokongan mereka penting dalam pelaksanaan agenda reformasi kerajaan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
"Tunjuklah tahap profesionalisme yang tinggi, tingkatkan empati serta tatakelola yang baik," tambah bekas Timbalan Perdana Menteri itu.









Comments