top of page

"Melayu tidak jadi kuat dengan ketakutan" - Kesatuan Pondok Kelantan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan (Pondok MADANI) menyeru umat Islam menolak politik berasaskan fitnah dan perpecahan susulan kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mendakwa DAP menggunakan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda penjajah bagi menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.


Pengerusinya, Baba Zulkarnain Harun (gambar) berkata, tuduhan sedemikian merupakan dakwaan berat yang tidak wajar dilemparkan tanpa bukti jelas dan sahih kerana berpotensi menimbulkan prasangka serta kebencian dalam masyarakat.


"Kami berpandangan bahawa tuduhan sedemikian merupakan suatu fitnah dan dakwaan yang tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti yang jelas dan sahih.


"Tuduhan yang begitu berat bukan sahaja boleh menimbulkan prasangka dan kebencian, bahkan berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini," katanya dalam kenyataan media.


Menurut beliau, pendekatan politik sedemikian turut bercanggah dengan tuntutan syariat yang menekankan keadilan, tabayyun dan larangan membuat tuduhan tanpa bukti.


Beliau berkata, kenyataan tersebut juga memperlihatkan kekeliruan terhadap kerangka demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia.


"Malaysia bukan sebuah negara yang membolehkan mana-mana satu parti politik bertindak sesuka hati. Kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja, Parlimen, undang-undang dan prinsip semak dan imbang," katanya.


Baba Zulkarnain berkata kedudukan Islam dan orang Melayu juga telah dilindungi melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 3 berkaitan kedudukan Islam serta Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.


"Oleh itu, menggambarkan seolah-olah penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan dengan sendirinya membolehkan parti tersebut menghapuskan Melayu dan Islam adalah suatu gambaran yang tidak tepat terhadap sistem pemerintahan negara," katanya.


Beliau berkata politik seharusnya dilihat sebagai medan mengurus kemaslahatan rakyat, menegakkan keadilan, mencegah kemudaratan dan memelihara keamanan masyarakat, bukannya semata-mata menentukan siapa kawan dan siapa lawan.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa politik berasaskan ketakutan mungkin memberi keuntungan jangka pendek, namun kesannya terhadap perpaduan masyarakat amat besar.


Katanya, ilmu siyasah syar‘iyyah, politik bukan sekadar persoalan siapa kawan dan siapa lawan. Politik adalah medan mengurus kemaslahatan manusia, menegakkan keadilan, mencegah kemudaratan dan memelihara keamanan masyarakat sesuai dengan firman Allah SWT: “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah)


"Politik ketakutan mungkin memberikan keuntungan politik jangka pendek, tetapi perpecahan umat dan kerosakan keharmonian negara adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar," katanya.


Baba Zulkarnain turut menyeru pemimpin politik, khususnya mereka yang membawa imej Islam, supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.


"Islam tidak menjadi kuat dengan fitnah.


"Melayu tidak menjadi kuat dengan ketakutan.


"Negara tidak menjadi kukuh dengan perpecahan," katanya.


Beliau menyeru agar politik negara beralih daripada pendekatan menakut-nakutkan rakyat kepada persaingan menawarkan penyelesaian terbaik termasuk dalam aspek ekonomi, kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan, kemiskinan dan kesejahteraan rakyat.


"Marilah kita membina politik yang berteraskan ilmu, fakta, keadilan, akhlak dan maslahah, demi Islam yang dihormati, rakyat yang bersatu dan Malaysia yang aman serta sejahtera," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page