Umat Islam perlu sederhana tangani perbezaan pandangan
- Redzuan Shamsudin
- May 22, 2023
- 1 min read

Umat Islam Malaysia digesa bersederhana dalam menguruskan perbezaan pandangan.
Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim usai majlis muzakarah bersama Shaykh Mufti Ismail Menk, Shaykh Muhammad Salah dari Huda TV, Amerika Syarikat dan Shaykh Wael Ibrahim dari The Aware Academy, Australia semalam.
"Saya dan hadirin mengambil peluang bermuzakarah bersama Mufti menyentuh beberapa ittijahat (jalur pemikiran) umat semasa.
"Menyingkap soal fahaman agama yang melampau, tentunya ini berpangkal pada soal pendidikan, dan bagaimana masyarakat kita dididik dan diasuh.
"Sering diingatkan bahawa sayugia kita menjadi pendakwah dan bukan penghukum. Justeru penting untuk diketengahkan faham yang lebih sederhana, serta membudayakan Adab al-Ikhtilaf dalam menyikapi perbedaan pandangan," kata Anwar dalam catatan di Facebook.
Menurut Anwar lagi, persoalan Adab al-Ikhtilaf serta kepentingan mewacanakannya seperti yang dikupas secara tuntas oleh Almarhum Shaykh Taha Jabir Alwani turut disentuh.
"Pada masa sama, Malaysia juga akan mengambil langkah proaktif untuk menangani gejala Islamofobia yang membarah di negara luar, dan ini akan menjadi kebijakan yang spesifik dalam Kementerian Luar Negeri.
"Saya terharu dengan rasa senang dan nyaman Mufti Menk dan rombongannya sepanjang keberadaan mereka di Malaysia. Beliau berhasrat untuk kembali dengan lebih kerap ke sini," katanya.
PM berharap agar kunjungan itu dan seterusnya akan membawa limpahan berkat daripada Allah SWT.
コメント