top of page

Umat Islam perlu beri perhatian ilmu AI, seiring falsafah, moral, etika Islam

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
2 hours ago
4 min read
DS Anwar menyampaikan ucaptama International Future Conference 2026 di ISTAC-UIAM, Kuala Lumpur
DS Anwar menyampaikan ucaptama International Future Conference 2026 di ISTAC-UIAM, Kuala Lumpur

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu institusi pengajian tinggi di Malaysia memberi perhatian lebih serius terhadap bidang pengajian masa depan bagi membolehkan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) diterokai tanpa mengorbankan nilai agama, warisan serta identiti masyarakat.


Perdana Menteri berkata bidang 'future studies' tidak seharusnya dilihat hanya daripada sudut kemajuan teknologi, sains dan daya saing ekonomi sebaliknya perlu dilandaskan kepada turath (sumber asal ilmu Islam), sejarah, falsafah, moral dan etika.


"Sebahagian daripada kita menjadi sangat teruja apabila terdapat banyak kebimbangan yang disuarakan mengenai bahaya kecerdasan buatan terhadap manusia.


"Tetapi jika anda berakar pada turath dan tradisi Islam, anda sepatutnya tidak begitu terkejut kerana semua teknologi baharu, sains dan future studies yang amat penting dan kritikal bagi kita, dilihat secara berbeza daripada cara pihak lain melihatnya," katanya ketika menyampaikan ucaptama International Future Conference 2026 di ISTAC-UIAM, Kuala Lumpur hari ini.


Turut hadir Penolong Setiausaha Agung OIC bagi Sains dan Teknologi Aftab Ahmad Khokher, Penyelaras Agung OIC-COMSTECH Prof. Dr. Muhammad Iqbal Choudhary, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Osman Bakar.


Perdana Menteri berkata usaha menguasai ilmu dan teknologi baharu perlu bergerak seiring dengan penghayatan terhadap tradisi, keimanan, budaya dan warisan supaya kemajuan yang dicapai benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat dan kemanusiaan.


Beliau melahirkan kebimbangan apabila tidak banyak universiti ketika ini khususnya di negara Islam yang menjadikan future studies sebagai bidang atau disiplin untuk meneliti masa depan, sedangkan masyarakat kini berdepan perubahan yang berlaku pada kadar amat pantas.


Beliau berkata pendekatan itu penting kerana manusia perlu memahami perkara yang boleh dicapai dari sudut teknologi tetapi pada masa sama menilai apa yang wajar dan diingini dari perspektif masyarakat.


"Jadi, apabila kita bercakap mengenai future studies, ia bukan semestinya satu disiplin yang baharu. Jika anda memahami dan meneliti karya-karya yang telah disebutkan, warisan turath itu sendiri merupakan satu ilmu," katanya yang turut pernah menjadi Presiden UIAM.


Menurut Anwar, kemajuan teknologi termasuk AI, transformasi digital, teknologi pengimejan dan peralihan tenaga tidak boleh dibincangkan hanya menggunakan bahasa algoritma, kuasa pengkomputeran dan daya saing ekonomi.


Sebaliknya kata beliau ia perlu turut dilihat menerusi lensa etika, falsafah, sejarah, kemanusiaan dan teologi.


"Sekali lagi saya tegaskan, kita memerlukan bahasa etika, lensa falsafah dan landasan sejarah.


"Dengan kata lain, kemajuan teknologi mesti bergerak seiring dengan kemanusiaan, moral dan teologi," katanya.


Dalam konteks pendidikan, Anwar berkata usaha menggapai ilmu baharu termasuk teknologi AI perlu tetap berakar pada tradisi, agama, budaya dan warisan.


Beliau mengingatkan bahawa keghairahan mengejar teknologi baharu tidak seharusnya menyebabkan masyarakat kehilangan identiti serta asas moral dan etika.


"Dalam kerangka MADANI, khususnya dalam sistem pendidikan, kita bercakap tentang usaha, cita-cita dan ikhtiar untuk menggapai ilmu baharu, apa yang kita sebut sebagai ‘menggapai yang di langit’.


"Pada masa sama kita juga mengingatkan para pelajar, penyelidik dan guru bahawa usaha mencapai langit melalui teknologi baharu, AI dan sebagainya mesti berakar pada tradisi, keimanan, budaya dan warisan kita," katanya.


Anwar berkata perkara itu amat penting ketika Malaysia semakin menjadi destinasi pelaburan dalam sektor teknologi baharu termasuk semikonduktor, AI dan pusat data.


Namun katanya perkembangan berkenaan perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan warisan dan tradisi supaya kemajuan teknologi tidak terpisah daripada masyarakat yang sepatutnya mendapat manfaat daripadanya.


"Bagi Malaysia, kemajuan teknologi tidak boleh dan tidak seharusnya terpisah daripada masyarakat yang sepatutnya dilayaninya.


"Kita harus mengejar keupayaan dengan penuh keyakinan tetapi tidak sekali-kali mengorbankan pertimbangan, maruah atau pemahaman yang jelas tentang siapa diri kita yang sedang kita bentuk dalam proses tersebut," katanya.


Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, institusi pengajian tinggi juga perlu memberi perhatian terhadap kesan teknologi terhadap masyarakat, termasuk persoalan budaya, moral dan etika.


Katanya kesedaran mengenai kaitan teknologi baharu dengan agama, moral dan etika kini semakin berkembang dalam kalangan pemimpin di negara-negara Selatan dan sarjana Islam.


Namun beliau menegaskan perkara itu tidak boleh terhenti pada ungkapan umum semata-mata, sebaliknya memerlukan kajian yang serius.


"Mestilah ada kajian yang serius untuk memastikan kita tidak terlepas pandang persoalan asas ini iaitu keperluan untuk memahami dan memperoleh ilmu yang terangkum dalam kerangka future studies tetapi pada masa yang sama memahami masa depan dengan berlandaskan kukuh pada turath, warisan dan masa lalu kita," katanya.


Anwar turut menyentuh keperluan melihat teknologi daripada perspektif kemanusiaan, termasuk konflik dan penderitaan yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat.


Katanya perbincangan mengenai AI dan teknologi tidak boleh mengabaikan persoalan mengenai kesan teknologi terhadap kemanusiaan.


"Kita sedang berdepan dengan cabaran ini dan saya percaya perbincangan tidak seharusnya mengabaikan keterlaluan teknologi termasuk AI, dalam proses menghilangkan sifat kemanusiaan manusia," katanya.


Beliau berkata tradisi intelektual Islam dan turath pula tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai himpunan maklumat atau karya sejarah, sebaliknya sebagai asas untuk memahami bagaimana ilmu digunakan secara bertanggungjawab.


"Turath bukan sekadar pengumpulan maklumat, tetapi mengenai bagaimana ilmu dapat digunakan secara bertanggungjawab, untuk apa? Untuk kebaikan masyarakat dan kemanusiaan," katanya.


Anwar turut menyambut baik penubuhan Centre of Future Studies di IIUM dan berharap pusat berkenaan dapat membincangkan isu berkaitan masa depan dengan lebih serius.


Kata beliau tugas masyarakat bukan sekadar membina lebih banyak, mencipta dengan lebih pantas atau bersaing dengan lebih hebat, tetapi menentukan bentuk kemajuan yang wajar dikejar.


"Jadi, tugas yang berada di hadapan kita bukan sekadar membina lebih banyak, mencipta dengan lebih pantas atau bersaing dengan lebih hebat.


"Ia adalah untuk menentukan jenis kemajuan yang wajar kita usahakan dan mempunyai keberanian untuk membentuk institusi kita, termasuk pelaburan dan cita-cita, berdasarkan pilihan tersebut. Itulah cabaran future studies," katanya.


Beliau berkata perbincangan mengenai masa depan juga tidak seharusnya terhad kepada kalangan akademik sebaliknya masyarakat secara keseluruhan, termasuk pelajar dan komuniti akademik, perlu dilibatkan.


"Perbincangan mengenai future studies, perbincangan mengenai masa depan, tidak seharusnya terbatas kepada kalangan tertentu sahaja.


"Masyarakat secara keseluruhannya, komuniti pelajar dan akademik serta masyarakat kita mesti terlibat dan diberikan ruang untuk turut serta," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page