top of page

Umat Islam elak sertai aktiviti bersihkan rumah ibadat agama lain – Dr Zulkifli

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
48 minutes ago
1 min read

Umat Islam dinasihatkan supaya mengelakkan daripada terlibat dalam aktiviti membersihkan rumah ibadat agama lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar).


Beliau berkata, semua pihak diminta merujuk nasihat dan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu, dengan mengambil kira batas syariat Islam.


"Saya mohon semua pihak merujuk nasihat dan pandangan Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan," katanya dalam kenyataan di media sosial.


Bagaimanapun, Zulkifli menegaskan bahawa amalan berbuat baik dan membantu golongan bukan Islam dalam perkara yang tidak melibatkan agama mereka dibenarkan.


"Berbakti dan berbuat baik kepada bukan Islam yang bukan bersifat syiar agama mereka adalah perkara terpuji dan dibolehkan," katanya.


Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Tabarani sebagai peringatan mengenai kepentingan memberi manfaat kepada orang lain.


Hadis daripada Jabir bin Abdullah RA itu bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”


Sebelum ini, tular hantaran video di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu termasuk orang Islam bergotong-royong mencuci rumah ibadat bukan Islam di Georgetown, Pualu Pinang.


Menerusi perkongsian dalam satu hantaran di Facebook, aktiviti gotong-royong berkenaan dijalankan di bawah penganjuran program tanggung jawab sosial korporat (CSR).



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page