KEADILAN tanding sembilan kerusi PRN Melaka, umum calon 24 Oktober


KEADILAN menyasarkan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan senarai calon parti itu hampir dimuktamadkan menjelang pengumuman rasmi pada 24 Oktober ini.
Setiausaha Agung KEADILAN, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) akan dibuat serentak oleh Pengerusi gabungan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pelancaran jentera pilihanraya parti.
Beliau berkata, KEADILAN kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pilihanraya bagi memastikan jentera parti berada pada tahap terbaik untuk memberikan saingan sengit.
"Bagi KEADILAN, calon kami sudah disahkan dan dimuktamadkan. InsyaAllah setakat ini kita bertanding di sembilan kerusi, KEADILAN ya, PH sudah tentu semua.
"Buat masa ini apa yang penting adalah untuk kita memastikan bahawa persiapan berjalan dengan lancar. Kita akan memberikan saingan yang sangat baik," katanya dipetik laporan media tempatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2027 (Road to FIM2027) Zon Selatan di Johor Bahru hari ini.
Mengenai kemungkinan kerjasama dengan pihak lain bagi menghadapi PRN itu, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, tiada persefahaman rasmi dimeterai setakat ini.
Bagaimanapun, kata beliau KEADILAN mengalu-alukan sokongan mana-mana pihak yang bersedia membantu manakala sebarang perancangan berkaitan strategi politik akan disimpan terlebih dahulu.
"Perbincangan rasmi itu tiada tetapi kalau ada pihak yang mahu membantu, kita amat alu-alukan. Namun daripada segi persefahaman rasmi, memang tiada.
"Soal sama ada kita akan adakan kerjasama dengan mana-mana pihak lain itu melibatkan strategi, jadi soal strategi kita simpan dahulu," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundian bagi PRN Melaka ke-16 akan berlangsung pada 14 November depan.




Comments