top of page

Umat Islam berpecah akibat fahaman sempit - Dr Mohd Na'im

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 6
  • 1 min read

"Islam memansuhkan diskriminasi dan menegakkan keadilan," kata Dr Mohd Na'im dalam khutbah
"Islam memansuhkan diskriminasi dan menegakkan keadilan," kata Dr Mohd Na'im dalam khutbah

Umat Islam di seluruh dunia kini berdepan pelbagai bentuk perpecahan akibat fahaman sempit, kepentingan diri dan semakin hilangnya semangat ukhuwah.


Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi khutbah Arafah bertajuk Seruan Tauhid dan Kesatuan Umat di Arafah pada Khamis.


Justeru tegasnya, ibadah haji merupakan medan penyatuan yang agung, sekiranya dihayati dengan keinsafan dan kefahaman yang mendalam ia berupaya mengembalikan kekuatan umat Islam.


"Di sinilah Islam memansuhkan diskriminasi dan menegakkan keadilan sejati bahawa nilai seorang insan bukan pada rupa atau harta, tetapi pada takwa dan amal soleh.


"Tiada pangkat, tiada kasta, tiada kemegahan dunia dan yang tinggal hanyalah dua helai kain putih, dan hati yang tunduk kepada Ilahi.


"Ibadah haji turut membawa maqasid sosial yang penting iaitu menyatukan hati umat Nabi Muhammad SAW demi mengukuhkan perpaduan dan kekuatan ummah," katanya dipetik.


Menerusi Khutbah itu juga Mohd Na'im menyeru umat Islam agar menghayati nilai-nilai luhur yang dituntut sepanjang menunaikan ibadah haji demi memastikan ibadah yang dilaksanakan bukan sahaja sah, tetapi juga memberi kesan mendalam kepada pembentukan akhlak dan peribadi


Dalam pada itu, beliau mengingatkan jemaah agar memperbanyakkan istighfar dan menjadikan ibadah haji sebagai titik tolak kepada perubahan diri ke arah menjadi hamba yang kembali kepada fitrah, penuh keinsafan dan ketakwaan kepada Allah SWT


"Jemaah haji perlu sentiasa menjaga keselamatan diri, harta dan keluarga agar tidak cuai sehingga menjejaskan keseluruhan ibadah.


"Selain itu, jemaah juga diingatkan supaya menunaikan hak sesama manusia dengan bersikap toleransi dan saling bantu-membantu serta menghindari sebarang bentuk perbalahan kerana dikhuatiri akan merosakkan roh haji," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page