Ultra 5G pacu transformasi sektor utama negara
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Penggunaan teknologi 5G Advanced (5G-A) atau Ultra 5G berupaya membuka potensi besar dalam memacu transformasi digital serta meningkatkan produktiviti pelbagai sektor utama di negara ini.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penerapan evolusi rangkaian generasi kelima ini yang memanfaatkan kepintaran buatan (AI) dan robotik mampu menangani isu kecekapan pengoperasian yang kritikal.
"Saya lihat potensinya sangat tinggi dan sangat baik untuk membantu mengurangkan sama ada kesesakan ataupun tugasan bagi jururawat di wad serta meningkatkan produktiviti di ladang-ladang sawit dan sebagainya," katanya dipetik selepas merasmikan pelancaran Hab Platform Inovasi Perusahaan (EIP) U Mobile di Subang Hi-Tech Industrial Park, Subang Jaya hari ini, lapor media tempatan.
Fahmi menjelaskan keupayaan analisis data menerusi capaian Ultra 5G akan membantu peniaga menguruskan rantaian inventori dengan jauh lebih efisien.
Malah katanya ketersambungan berkelajuan tinggi ini membolehkan syarikat mengenal pasti aliran kecenderungan pelanggan serta mengkaji laluan tumpuan pengguna berdasarkan data yang diperoleh secara langsung.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa komuniti perniagaan dan perusahaan tempatan untuk memanfaatkan kemudahan hab inovasi seperti EIP U Mobile ini bagi memperkukuh aspek keselamatan siber serta menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab.
Fahmi turut menyentuh mengenai potensi integrasi teknologi dron berasaskan rangkaian 5G bagi memperkasakan pengawasan keselamatan khususnya di kawasan perbatasan negara.
"Saya dimaklumkan di beberapa tempat ada dimanfaatkan (teknologi ini). Dengan adanya capaian 5G, penggunaan dron bagi tujuan pemantauan termasuk di kawasan sempadan boleh dioptimumkan," jelasnya.
Beliau berkata agensi keselamatan berkaitan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menilai kesesuaian pelaksanaan teknologi berkenaan demi kedaulatan negara.
Bagi menyokong inisiatif tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan kualiti dan liputan internet di kawasan sempadan ditingkatkan dengan drastic, ujar beliau.
Ultra 5G merupakan fasa evolusi terbaharu yang beroperasi sepenuhnya berasaskan seni bina 5G Standalone (SA).
Komponen ini menawarkan ketersambungan bertaraf perusahaan dengan kadar sela masa yang amat rendah, fungsi pemecahan rangkaian, kapasiti dua kali ganda, serta perlindungan keselamatan yang disokong AI berbanding rangkaian 5G generasi awal.
Pelancaran hab oleh U Mobile ini merupakan sebahagian daripada komitmen industri dalam membina ekosistem digital yang kalis masa hadapan selaras dengan langkah syarikat tersebut yang kini memperluaskan rangkaian 5G milik mereka sendiri di seluruh negara.




Comments