Ulang tahun ke-22 KEADILAN mewajarkan para pendukungnya memperkukuh semangat perjuangan dalam melawan mehnah dan tribulasi lanjutan dua dekad bertempur melawan rejim kronisme dan nepotisme Barisan Nasional.
Bagi Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek, usia 22 juga memastikan parti telah matang dan lebih mendasar perjuangannya, berbanding parti-parti yang masih muda.
"Menginjak usia 22 tahun ini, kelestarian idealisme adalah kemuncak wajah pendewasaan dan dinamika parti sebagai sebuah organiasi yang cukup cerdas kerana kejituan idealisme sejak mula ditubuhkan.
"Ketika ini juga, Deklarasi Permatang Pauh wajar diberikan penghormatan semula untuk memaknai konteks perjuangan dan bukan sekadar teks yang dilaung-laungkan tanpa ruh dan relevansi sinergi arus perdana.
"Mendepani masa hadapan, Deklarasi Permatang Pauh harus menjadi tanda aras pengukuhan idealisme dengan penuh conviction kerana ruh islah atau reformasi tidak akan bernyawa tanpa kefahaman yang mendalam terhadap teks dan konteks idealisme ini.
"Di saat kita bercakap tentang ‘karamah insaniyyah’ yang mengangkat kemuliaan insan merentas warna kulit, bangsa dan agama, hal ini harus diterjemahkan dalam realiti politik termasuk memaknai political altruism iaitu partisipasi di dalam aktivisme politik yang mempertahankan hak warga yang terpinggir ditindas haknya dari sudut hak asasi kemanusiaan," kata Fadhlina dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dalam usia 22 tahun juga parti menghadapi cabaran untuk kembali memerintah di Putrajaya dengan isu-isu yang semakin menekan seperti Covid 19, kemerosotan ekonomi dan sebagainya
Katanya, pimpinan dan aktivis KEADILAN di dalam usia the age of wisdom ini wajar terus dimeterai dengan hikmah sebagai tanda aras kewibawaan dan harus sentiasa dimaknai dengan kewaspadaan yang jelas.
"Ulang tahun ke-22 memperlihatkan kita masih berada dalam suasana pandemik Covid-19. Kesusahan rakyat memperlihatkan kadar pengangguran terbesar dalam sejarah, kira-kira 17%. Hutang isi rumah meningkat dengan sangat tinggi, kenaikan harga barang dan inflasi telah mencecah 5% dan gaji graduan turun ke paras paling rendah, RM 1200 sebagai gaji minimum.
"Malah kebejatan isu-isu sosial yang meningkat secara mendadak dalam tempoh pandemik melingkari semua isu keganasan berasaskan gender termasuk peningkatan kadar keganasan rumahtangga, gangguan seksual dan kemiskinan memerlukan kita menjadi jurubicara dan problem solver isu masyarakat
"Juga kegagalan (sesetengah ahli) mempertahankan jati diri dan idealisme kerana sogokan pesona material dunia yang dan mabuk kuasa meminggirkan nilai dan integriti," katanya lagi.
Selain itu, Fadhlina juga menekankan prinsip Rukunegara yang perlu dihayati untuk menjadi bangsa yang mengangkat nilai, etika dan kompas moral yang diterjemahkan ke dalam prinsip kesopanan dan kesusilaan.
Malah, katanya, pendukung KEADILAN perlu mengangkat darjat kemanusiaan serta mencegah kesenjangan pelayanan yang tidak adil dalam konteks "no one is above the law” melalui kedaulatan undang-undang.
KEADILAN ditubuhkan pada 4 April 1999 dengan nama Parti Keadilan Nasional. Parti ini menukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat pada 2003 apabila bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pimpinan Dr Syed Husin Ali.
Comments