Ulang tahun ke-27: KEADILAN kekal teguh berpaksikan prinsip reformasi
- Azuan Ab Rahman
- 6 hours ago
- 1 min read

Selepas 27 tahun berdepan pelbagai cabaran dalam arena politik tanah air, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang diasaskan sejak 4 April 1999 masih kekal teguh sehingga hari ini.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil berkata meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan, parti itu kekal teguh hasil keutuhan prinsip dan kekuatan perjuangan yang tidak pernah padam.
"KEADILAN lahir daripada semangat reformasi, dalam satu usaha untuk tegakkan keadilan, lawan kezaliman, pertahankan suara rakyat dan membina sebuah Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berintegriti.

"Perjalanan ini bukan mudah. Kita telah lalui pelbagai ujian, cabaran dan liku. Berkat keutuhan prinsip dan kekuatan perjuangan, KEADILAN terus berdiri, terus mara, dan terus menjadi wadah harapan buat rakyat," katanya di laman Facebooknya sempena sambutan ulang tahun ke-27 parti itu semalam.
Sementara itu, beliau yang juga merupakan Menteri Komunikasi menegaskan bahawa sambutan ulang tahun itu menjadi peringatan bahawa agenda reformasi masih perlu diteruskan demi masa depan negara.
"Semangat reformasi itu masih terus hidup, dan perjuangan kita masih belum selesai. Selamat ulang tahun ke-27 KEADILAN. Semoga panji reformasi terus berkibar," tambahnya.
