top of page

Ulang tahun ke-27: Anggota KEADILAN perlu muhasabah, perkukuh reformasi

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Ulang tahun ke-27 Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) disifatkan sebagai detik penting untuk memperkukuh semula asas perjuangan serta memperteguh kesatuan dalam kalangan pimpinan dan ahli parti.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) berkata, perjalanan lebih dua dekad KEADILAN membuktikan keteguhan prinsip parti dalam memperjuangkan keadilan sosial, integriti dan kesejahteraan rakyat.


"Sepanjang 27 tahun, KEADILAN telah menempuh pelbagai cabaran dan pengorbanan. Namun kekuatan prinsip memastikan parti ini terus relevan sebagai wadah perubahan demi keadilan dan pembelaan rakyat," katanya dalam kenyataan sempena mengenang tarikh 4 April 1999 sebagai hari ulang tahun penubuhan KEADILAN.


Beliau berkata, ulang tahun tersebut bukan sekadar perayaan, sebaliknya perlu dijadikan medan muhasabah untuk kembali kepada asas perjuangan reformasi.


"Peringatan untuk kita kembali kepada asas perjuangan, menegakkan keadilan, menolak kezaliman dan memperjuangkan hak rakyat tanpa mengira latar belakang.


"Sesuai dengan rujukan utama perjuangan reformasi sejak dari zaman Nabi Syuib alaihissalam dari surah Hudd 88: (Nabi Syuib) Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali," katanya.


Menurut beliau, dalam menghadapi cabaran semasa, seluruh pimpinan dan ahli perlu mengutamakan kesatuan serta mengelakkan perpecahan dalaman.


"Perbezaan pandangan harus diurus dengan hikmah. Semua ahli mesti berdisiplin dan mematuhi perlembagaan parti. Tidak ada yang teristimewa dalam perjuangan ini," katanya.


Beliau turut mengingatkan agar insiden perbalahan dalam parti dijadikan pengajaran demi memperkukuh organisasi. Katanya, perbezaan pandangan harus diurus dengan hikmah demi kekuatan parti.


Seluruh anggota samada pimpinan atau ahli biasa mesti berdisiplin dengan arahan parti dengan merujuk kepada perlembagaan parti.


Dalam pada itu, Mustapa menegaskan agenda reformasi perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar yang lebih memberi manfaat langsung kepada rakyat. Selain menekankan kepentingan integriti dalam kalangan pimpinan parti.


Menurutnya, kepercayaan rakyat adalah aset paling berharga yang perlu dipelihara melalui prestasi pentadbiran yang berkesan.


"Isu minyak, isu pendapatan rakyat miskin, isu kebajikan, kesihatan, pendidikan, ekonomi, pelaburan, peluang pekerjaan, keterjaminan makanan perlu ditingkatkan lagi dari apa yang ada sekarang.


"Tidak dinafikan di era Madani, isu berkaitan rakyat secara umum terbukti jauh lebih baik dari kerajaan sebelumnya," akui beliau.


Dalam pada itu, katanya, ruang lebih luas perlu diberikan kepada generasi muda serta sayap parti untuk memainkan peranan dalam kepimpinan.


"Kita mesti membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda untuk memimpin dan menyumbang idea. Masa depan perjuangan terletak di tangan mereka.


"Angkatan Muda KEADILAN harus bersama dengan para pejuang reformasi dalam memaknai ruh perjuangan itu dalam semua gerak kerja politik dalaman dan luaran. Wanita juga sama harus beriringan mengharungi perjuangan ini dengan komitmen disiplin yang berterusan," katanya.


Mustapa Mansor turut menyeru semua pihak menjadikan ulang tahun tersebut sebagai titik pembaharuan tekad untuk terus istiqamah dalam perjuangan.


"Semoga KEADILAN terus menjadi obor harapan rakyat dan kekal sebagai tunjang kepada Malaysia yang adil, demokratik dan sejahtera," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page