Oleh: Abdullah Zaid
Parti Keadilan Rakyat yang menyambut ulang tahun ke 25 penubuhan hari ini perlu terus berpasak atas semangat islah yang utuh dalam membawa agenda reformasi.
Menurut Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, pimpinan dan ahli harus diingatkan bahawa kuasa adalah amanah dan bukan keistimewaan.
"Justeru, hak dan kebajikan rakyat mesti yang terutama dalam membentuk kebijakan.
"Tugas dan tanggungjawab yang digalas hari ini adalah amanah yang mesti kita pikul sebaiknya dengan matlamat membawa perubahan yang bermakna.
"Selamat ulangtahun KEADILAN yang ke-25 kepada seluruh anggota dan pimpinan KEADILAN," katanya dalam kenyataan hari ini.
Parti Keadilan Rakyat ditubuhkan pada 1999. Oleh kerana mendapat halangan daripada pendaftar pertubuhan bagi mendaftarkan parti pro reformasi pada waktu itu maka parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN) diambil alih.
Perlembagaan IKATAN telah dipinda pada 1999 untuk mengubah nama parti kepada Parti Keadilan Nasional (KeADILan) pada 4 April 1999
KeADILan kemudiannya diubah nama kepada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) selepas pengabungan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 3 Ogos 2003.
Barisan kepimpinan KEADILAN pada waktu penubuhan ialah Presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden Prof Dr Chandra Muzaffar; Naib Presiden Datuk Sheikh Azmi Ahmad, Marina Mohd Yusof, Chua Tian Chang; Setiausaha Agung Mohd Anuar Mohd Tahir; Bendahari Ustaz Ramli Ibrahim; Ketua Penerangan Ruslan Kassim; Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor; Ketua Wanita Nell Onn; Naib Ketua Pemuda Mustaffa Kamil Ayub dan Naib Ketua Wanita Fuziah Salleh.
Comments