Ulama Kelantan Syeikh Wazir mahu pentadbiran Anwar dua penggal
- Suara Keadilan

- Jul 21
- 1 min read

Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah, menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sokongan itu dinyatakan Syeikh Wazir menerusi ucapannya pada program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra di Putrajaya.
"Sokongan kita (ulama) penuh kepada pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. InsyaAllah, kita berada di belakangnya (Anwar).
"Semua rintangan dan cabaran yang berlaku di negara ini dapat diselamatkan. Malaysia diselamatkan, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri dapat diselamatkan," katanya dipetik semalam.
Sementara itu Syeikh Wazir menyifatkan Malaysia kini ditadbir dengan baik oleh PM Anwar, justeru beliau mencadangkan supaya pentadbiran Anwar dikekalkan hingga tempoh 10 tahun supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Program anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu diadakan bertujuan menyemarakkan budaya munajat dan penghayatan ilmu sebagai asas penyatuan ummah serta pembinaan masyarakat berteraskan nilai Malaysia MADANI.
Syeikh Wazir dalam ucapannya juga mengingatkan bahawa perubahan pentadbiran kerajaan dalam tempoh waktu singkat seperyi sebelum ini bukanlah satu cara yang digalakkan dalam Islam.
Amalan seperti itu jelasnya akan menyebabkan ketidakstabilan yang bukan sahaja merugikan rakyat dan negara, malah menjejaskan pendidikan di institusi pondok.
"Kita di Malaysia ini, lima tahun satu kerajaan .... dua tahun satu kerajaan dan setahun pula satu kerajaan (menyebabkan) dasar berubah, (pengajian) pondok malap, segala malap, ekonomi malap dan ini bukan cara Islam," katanya lagi.









Comments