top of page

Ulama desak tindakan tegas susulan RCI TH, usul RCI FELDA

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read
Ulama diberi penerangan apa sebenarnya berlaku di sebalik RCI Tabung Haji
Ulama diberi penerangan apa sebenarnya berlaku di sebalik RCI Tabung Haji

Kerajaan digesa memastikan tindakan undang-undang diambil tanpa pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang terbukti merugikan atau menyalahgunakan harta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH), susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung institusi itu.


Gesaan itu antara tujuh ketetapan dalam Resolusi Persidangan Khas Ulama dan Agamawan: Hifz Al-Mal anjuran Majlis Ulama Malaysia (MUM) yang berlangsung di Ampang hari ini.


Resolusi berkenaan dibacakan bekas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Zolkharnain Abidin pada penghujung persidangan.


Persidangan yang menghimpunkan kira-kira 100 ulama, agamawan dan cendekiawan Islam itu menegaskan dana institusi umat Islam khususnya TH merupakan amanah yang wajib dipelihara berlandaskan prinsip Hifz Al-Mal atau pemeliharaan harta.


"Sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa, atau pengurusan yang tidak telus adalah pengkhianatan yang menuntut pertanggungjawaban tegas di dunia dan di akhirat," demikian menurut resolusi itu.


Persidangan turut menyambut baik langkah kerajaan menyahklasifikasikan Laporan RCI TH dan mendesak setiap syor penambahbaikan yang terkandung dalam laporan berkenaan dilaksanakan secara mendalam, telus serta berkala.


"Pihak berkuasa wajib mengambil tindakan undang-undang dan pendakwaan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbukti merugikan atau menyalahgunakan harta pendeposit," kata resolusi tersebut.


Pada masa sama, persidangan mencadangkan pelaksanaan Pelan Tindakan Kecemasan Mengembalikan Keyakinan Rakyat (Emergency Trust Restoration) bagi menangani defisit kepercayaan terhadap TH dan agensi awam.


Antara langkah dicadangkan ialah penyusunan semula pengurusan tertinggi dengan melantik tokoh kewangan dan syariah yang berintegriti, bebas daripada pengaruh partisan serta telus dalam pelaporan kewangan.


Kerajaan dan pentadbiran agensi juga digesa memberikan jaminan bertulis serta penjelasan terbuka mengenai kedudukan modal, rizab dan keteguhan pelaburan bagi meredakan keresahan pendeposit.


Selain itu, MUM mahu usaha penerangan dan literasi kewangan dipertingkatkan melalui mobilisasi agamawan serta media termasuk menerusi khutbah Jumaat, ceramah, forum dan media sosial.


Agensi berkaitan turut digesa mengeluarkan laporan perkembangan secara berkala dalam bentuk yang ringkas, telus dan mudah difahami masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan serta manipulasi fakta.


Persidangan itu turut mahu prinsip Hifz Al-Mal diperluaskan kepada pengurusan khazanah serta aset rakyat dengan mencadangkan penubuhan RCI khusus bagi menyiasat FELDA dan agensi strategik lain yang dianggap berisiko tinggi.


Resolusi berkenaan menyebut MARA, institusi zakat dan wakaf serta syarikat berkaitan kerajaan antara agensi yang wajar diberikan perhatian selain menggesa audit dan siasatan telus terhadap agensi yang menguruskan harta rakyat serta tanah peneroka.


Dalam ketetapan lain, persidangan itu menegaskan ulama dan agamawan tidak seharusnya sekadar menjadi pemerhati sebaliknya perlu tampil sebagai jurubicara kebenaran serta memperjuangkan tatakelola kewangan Islam yang berintegriti.


Masyarakat Islam pula diseru bersatu mengawasi aset umat secara matang dan berani demi memastikan keselamatan harta serta kepentingan generasi akan datang terus terpelihara, kata resolusi itu.


"Ulama wajib tampil sebagai jurubicara kebenaran (Lisan al-Haqq), memperjuangkan tata kelola kewangan Islam yang berintegriti, serta memimpin kebangkitan fikrah masyarakat agar lebih prihatin terhadap isu ekonomi ummah," menurut resolusi itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page