top of page

UJSB ditubuh selamatkan TH, bukan jual aset kepada bukan Islam

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Siti Aishah memberi pencerahan dalam sesi bedah siasat Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji anjuran Wanita KEADILAN di Bangi, malam tadi
Siti Aishah memberi pencerahan dalam sesi bedah siasat Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji anjuran Wanita KEADILAN di Bangi, malam tadi

Penubuhan syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 bertujuan menyelamatkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) dan bukannya untuk menjual aset milik pendeposit kepada bukan Islam seperti yang didakwa sesetengah pihak.


Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail berkata naratif yang menggambarkan pemindahan aset TH kepada UJSB sebagai tindakan menjual atau menyerahkan aset umat Islam adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan berdasarkan fakta.


Beliau berkata UJSB merupakan syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD) yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan TH selepas institusi itu berdepan masalah kedudukan kewangan.


"UJSB ditubuhkan untuk menyelamatkan Tabung Haji. Bukan untuk jual aset kepada bukan Islam.


"Ini yang kita kena faham. Sebab naratif yang dimainkan seolah-olah aset Tabung Haji ini dijual, diberikan kepada orang bukan Islam. Itu tidak benar," katanya.


Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN berkata demikian dalam sesi bedah siasat Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji anjuran Wanita KEADILAN di Bangi, malam tadi.


Program berkenaan turut menampilkan Senator Dr Jufitri Joha dan Ahli MPP KEADILAN, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin sebagai panel.


Turut hadir Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan.


Menurut Siti Aishah, penubuhan UJSB perlu dilihat dalam konteks keadaan kewangan TH ketika itu apabila nilai liabilitinya melebihi asset sekali gus memerlukan langkah pemulihan bagi memastikan kepentingan pendeposit terus dilindungi.


Jelas beliau, pemindahan aset kepada UJSB bukan bermaksud aset berkenaan diserahkan kepada pihak asing atau bukan Islam sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada proses penstrukturan semula untuk memulihkan kedudukan kewangan TH.


Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya membezakan antara pemindahan aset dalam proses penstrukturan dengan penjualan aset kepada pihak lain kerana kedua-duanya membawa maksud yang berbeza.


Menurutnya, isu TH melibatkan kepentingan jutaan pendeposit Islam dan tidak seharusnya dieksploitasi dengan sentimen agama tanpa menjelaskan keseluruhan fakta mengenai proses pemulihan yang dilaksanakan.


Justeru itu, beliau berkata perbahasan mengenai laporan RCI TH perlu memberi tumpuan kepada persoalan sebenar mengenai tatakelola, keputusan pelaburan dan pengurusan institusi berkenaan sehingga membawa kepada keperluan kerajaan melakukan penstrukturan.


"Kalau kita hendak bercakap tentang Tabung Haji, kita kena bercakap berdasarkan fakta. Jangan kita mainkan sentimen seolah-olah aset orang Islam telah dijual kepada bukan Islam," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page