UIS puji langkah Kerajaan Selangor tanggung 50% yuran IPT
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Universiti Islam Selangor (UIS) menyambut baik langkah Kerajaan Negeri menanggung 50 peratus yuran pengajian untuk 4,000 pelajar Selangor melanjutkan pengajian di UIS dan Universiti Selangor (UNISEL) mulai sesi September 2026.
Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah (gambar), inisiatif membabitkan subsidi yuran berjumlah RM17.378 juta itu merupakan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan akses pendidikan tinggi berkualiti.
"Ini langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam memastikan generasi muda Selangor dapat melanjutkan pelajaran tanpa terbeban kos.
"Ia selaras dengan visi kita untuk melahirkan graduan berpengetahuan, berdaya saing dan berakhlak," katanya dalam kenyataan
Belanjawan dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Jumaat lalu memperuntukkan lebih RM136.2 juta untuk pendidikan dan pembangunan modal insan, jumlah tertinggi dalam sejarah negeri.
Peruntukan ini termasuk RM93 juta untuk program pendidikan dan RM3.7 juta untuk pembangunan modal insan.
Selain itu, RM8 juta pula disalurkan melalui Program Iltizam Selangor Penyayang (IS) termasuk HPIPT, Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) dan Iltizam Anak Selangor (ANAS), manakala lebih RM31.5 juta diperuntukkan untuk Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS).
Menerusi Belanjawan itu juga, Kerajaan Selangor memperuntuk RM5 juta untuk Hadiah Pengajian IPT Selangor (HPIPT) yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 mahasiswa.
Manakala inisiatif Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) pula dinaikkan kepada RM15 juta.
Sementara itu Dr Mohd Farid turut memuji penambahbaikan Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara yang memberi tumpuan kepada pelajar UIS dan UNISEL, sekali gus meningkatkan keberkesanan sokongan dana kepada mereka yang memerlukan.









Comments