Ugutan bunuh dan percubaan membakar pejabat KEADILAN Cabang Johor Bahru kelmarin mengejutkan rakyat di tengah tengah bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang semakin hampir.
Menurut Ketua Cabang Alor Gajah, Ginie Lim, politik demokrasi tidak seharusnya pergi terlalu jauh sehingga ugutan menghilangkan nyawa atau membakar harta benda persendirian.
Katanya, tindakan tersebut seolah olah menggambarkan pihak yang terdesak mahu mencetuskan ketakutan dalam kalangan rakyat agar tidak menyokong parti tertentu dalam PRU depan.
"Kejadian Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir menerima ugutan bunuh dan Pejabat Cabang KEADILAN Johor Bahru yang juga Pusat Khidmat Ahli Parlimen dibakar merupakan satu tindakan keganasan yang wajib dikecam oleh semua pihak.
"Tindakan keganasan ini jelas cuba menyebarkan ketakutan dalam masyarakat dan menanamkan perasaan kebencian terhadap pemimpin politik.
"Ugutan bunuh merupakan satu kesalahan yang amat serius, lebih-lebih lagi terhadap wakil rakyat yang sepatutnya bersuara dan bertindak memperjuangkan kepentingan rakyat," katnya.
Oleh itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap insiden berkenaan termasuk mengenakan hukuman penjara kepada pelaku agar kejadian yang sama tidak berulang.
"Pihak berkuasa wajar mengambil tindakan segera untuk menyiasat dan memastikan individu bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.
"Sesungguhnya tiada toleransi untuk perbuatan keganasan sebegini dan ia tidak mendapat tempat dalam negara kita yang bakal menyambut Hari Kemerdekaan.
"Tindakan tegas perlu diambil bagi menghentikan tindakan keganasan daripada berulang," kata Ginnie lagi.
Sebelum ini, keganasan terhadap parti pembangkang hanya setakat menghantar bangkai ayam atau menyimbah cat di harta milik persendirian yang berkaitan pembangkang.
Percubaan membakar pejabat parti yang juga pusat khidmat Ahli Parlimen belum pernah berlaku dalam politik Malaysia.
Kommentarer