top of page

Ugut MP guna video lucah: Bawa dalang ke muka pengadilan - AMK Kedah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 14
  • 1 min read

Updated: Sep 15

ree

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah mengecam sekeras-kerasnya tindakan ugutan berbentuk penyebaran video lucah serta tuntutan wang sebanyak AS$100,000 yang menyasarkan tiga Ahli Parlimen (MP) KEADILAN, iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Wong Chen (Subang) dan Dr Taufiq Johari (Sungai Petani).


Pengarah Komunikasi AMK Kedah, Mohamad Amirul Asraff Ismail (gambar), menyifatkan perbuatan tersebut sebagai politik kotor yang lapuk, tidak bermoral dan bertentangan dengan semangat demokrasi matang yang sedang dibina.


"Tindakan jijik ini adalah politik kotor yang lapuk, tidak bermoral dan sama sekali bertentangan dengan semangat demokrasi matang yang sedang kita bina.


"Ia bukan sahaja mengaibkan mangsa, malah mencemar imej politik tanah air serta melemahkan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau menegaskan AMK Kedah berdiri teguh bersama kepimpinan parti dan rakyat dalam menolak politik ugutan serta fitnah, apatah lagi salah seorang mangsa, Dr Taufiq Johari, merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Naib Ketua AMK Malaysia dan mantan Ketua AMK Kedah.


Sehubungan itu, katanya, AMK Kedah mendesak pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh bagi membawa dalang ke muka pengadilan.


"Dalang di sebalik ugutan ini mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi agar budaya politik samseng, ekstrem dan jijik tidak lagi berakar dalam negara kita," tegasnya.


Beliau menambah, medan politik seharusnya menjadi ruang beradu gagasan dan dasar demi kepentingan rakyat, bukannya pentas fitnah atau ugutan.


Untuk rekod, semalam Rafizi mendedahkan beliau menerima emel ugutan yang dikepilkan video lucah palsu direka menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).


Beliau berkata, pengirim emel itu meminta sejumlah wang dan hal yang sama juga berlaku kepada rakannya Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page