Ugut bunuh PM: AMK Wilayah, Selangor buat laporan polis
- Suara Keadilan

- Sep 12
- 1 min read

Ugutan dari seorang individu ke atas perdana menteri yang tular dalam himpunan membantah pengosongan unit kediaman atas perintah mahkamah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur semalam dilapor polis oleh pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Menurut Ketua Penerangan AMK Wilayah, Mohammad Rais Hamda, laporan polis tersebut dibuat oleh AMK Wilayah dan Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi kerana seriusnya ancaman terhadap pemimpin nombor satu kerajaan.
"Kami berharap kertas siasatan akan dibuka dan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku berkenaan," katanya dipetik Bernama.
Beliau yang didampingi Timbalan Ketua Penerangan AMK Selangor, Abdullah Zaid Abdullah Sani berkata, anak muda mengecam sekeras-kerasnya ugutan bunuh seumpama itu yang boleh mengancam kestabilan dan keharmonian.
Sebelum itu, tular sebuah video di TikTok memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan terhadap PM Anwar dan mendakwa dirinya pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan kes akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.









Comments