top of page

Ugut bunuh PM: AMH kecam penyokong Pas, putar belit fakta PN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

ree

Angkatan Muda HARAPAN (AMH) mengecam budaya politik melampau yang semakin menular, termasuk ugutan bunuh terhadap terhadap perdana menteri yang didakwa dilakukan oleh segelintir penyokong Pas baru-baru ini.


Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan (gambar) berkata, walaupun dilakukan oleh penyokong tindakan seperti itu sangat berbahaya kepada keselamatan negara.


"Jika mereka sanggup mengugut Perdana Menteri, tidak mustahil sesiapa sahaja termasuk ayah dan ibu kita yang dimusuhi (kerana berlainan ideologi politik) turut terancam," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ammar turut menggesa Pas dan Perikatan Nasional (PN) bertanggungjawab mengecam perbuatan tersebut.


"Membiarkan ia berlaku tanpa bantahan hanya akan menormalisasi budaya politik ugutan dan kekerasan. Semua pihak, tanpa mengira parti, harus menolak budaya politik ganas sebegini demi keselamatan dan keharmonian negara," tegasnya.


Dalam pada itu, AMH membidas tuduhan Ketua Dewan Pemuda Pas yang cuba mengaitkan kekecohan di Kampung Sungai Baru dengan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB), kononnya orang Melayu akan menghadapi nasib dihalau dari kawasan bandar.


"Tuduhan itu jelas bermotif politik dan tidak berasaskan fakta.


"Hakikatnya, proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru diwartakan pada 21 Jun 2021 di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960), ketika Perikatan Nasional (PN) memegang tampuk kuasa dan portfolio menteri berkenaan.


"Malah, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man, pernah menuntut penjelasan daripada pihak yang terlibat ketika itu," katanya.


Menurut Ammar, Pemuda Pas sepatutnya mendesak pemimpin PN bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut, bukan menuding jari kepada Kerajaan Perpaduan.


AMH juga kesal dengan sikap Pemuda Pas tidak membela anggota polis yang cedera semasa operasi pengosongan unit kediaman di kampung berkenaan kelmarin.


"Kebebasan berhimpun memang dijamin, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk mencederakan mana-mana anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas," katanya.


Beliau menegaskan dakwaan Pemuda Pas adalah tidak berasas serta cuba mengapi-apikan sentimen perkauman.


Katanya, rakyat Malaysia wajar menolak politik ugutan, fitnah, serta perpecahan kaum demi kestabilan dan kesejahteraan negara.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page