top of page

UEC: Tuntutan perlu utamakan Perlembagaan, tidak menjurus satu kaum, bahasa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 17 minutes ago
  • 2 min read

DS Anwar dalam rangka lawatan ke Langkawi hari ini mengulas mengenai sijil UEC
DS Anwar dalam rangka lawatan ke Langkawi hari ini mengulas mengenai sijil UEC

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mempunyai masalah terhadap tuntutan supaya Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diberikan pengiktirafan namun mahu wacana mengenainya tidak menjurus kepada satu kaum selain perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan mengutamakan bahasa kebangsaan.


Perdana Menteri menegaskan beliau tidak setuju sekiranya tuntutan berkenaan hanya mengutamakan satu kaum dan bahasa sebaliknya mahu bahasa kebangsaan dimartabatkan dengan semua rakyat perlu menguasainya.


"Saya sudah jelaskan, saya tak peduli siapa dia, parti mana, pengaruh mana. Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip Perlembagaan.


"Apa yang berbeza? Perbezaannya ialah tuntutan itu, tuntutan yang menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa. Itu saya tidak setuju sama sekali. Bawa dulu mesej pertahankan martabat bahasa kebangsaan.


"Kemudian rangkul sekali keperluan penguasaan bahasa lain. Itu kita boleh terima," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kampung Kelibang, Langkawi hari ini.


Anwar berkata pentadbirannya tidak menolak penggunaan bahasa lain termasuk usaha perlu dilakukan bagi memantapkan tahap penguasaan bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab dalam kalangan masyarakat.


Beliau berkata, perbincangan mengenai penguasaan bahasa perlu dilakukan dalam konteks keterangkuman membabitkan penggunaannya bagi semua kaum.


"Apakah ada keperluan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik? Jawapannya, ya.


"Apakah keperluan untuk tingkatkan penggunaan bahasa Cina di beberapa kursus di universiti? Tak ada masalah termasuk soal UEC.


"Tetapi bila naratif atau wacana itu menjurus kepada satu bahasa, satu kaum dan meninggalkan perbincangan soal bahasa utama negara kita, ini yang jadi masalah," ujarnya.


Justeru itu, Perdana Menteri mengingatkan mana-mana parti atau kaum mengemukakan tuntutan perlu melakukannya sebagai rakyat negara ini dengan mematuhi prinsip perlembagaan dan menjadikan bahasa Melayu sebagai keutamaan.


Jelasnya pembelajaran bahasa Inggeris misalnya digunakan dalam proses pembelajaran bagi subjek tertentu di universiti.


"Ini Malaysia, mesti ingat bahasa Melayu bahasa rasmi. Bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia.


"Kalau ini dah jelas, hendak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju. Tapi bahasa Melayu untuk bidang teknologi baharu, untuk bahasa ilmu, mesti dimantapkan.


"Penguasaannya itu harus baik di kalangan semua rakyat, semua aliran. Saya tak kira Melayu, Cina, India mesti menguasai bahasa Melayu," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata DAP akan meminta untuk bertemu Anwar bagi membincangkan perihal pengiktirafan UEC.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page