UEC: Demi keharmonian negara, henti desak, terima ketegasan PMX dengan hati terbuka
- Suara Keadilan

- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Tanpa menunggu lama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dengan pantas menunjukkan ketegasannya berhubung tuntutan DAP agar kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Sikap dan respon pantas PMX itu tentunya merupakan pilihan terbaik agar isu tersebut tidak terus berlanjutan yang pasti sedikit sebanyak akan menyebabkan `tercemarnya’ udara segar keharmonian negara .
Datuk Seri Anwar semalam berkata, beliau tidak akan melayan tuntutan sekiranya melanggar prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Saya dah jelaskan, saya tak peduli siapa dia, parti mana, pengaruh mana. Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip Perlembagaan.
"Apa yang berbeza? Perbezaannya ialah tuntutan itu, tuntutan yang menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa.
"Itu saya tidak setuju sama sekali. Bawa dulu mesej pertahankan martabat bahasa kebangsaan," ujarnya dengan tegas.
Martabat penggunaan Bahasa Melayu
Anwar menambah, usaha yang sepatutnya dilakukan pada ketika ini adalah memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu bagi menjadikannya bahasa ilmu yang dikuasai semua pihak di negara ini.

Dengan penegasan PMX itu, semua pihak mulai sekarang tidak harus bimbang lagi dengan pendirian kerajaan pimpinannya berhubung desakan untuk mengiktiraf sijil UEC.
Ertinya, apa jua desakan yang datang yang diutamakan ialah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Maka itu, pihak berkaitan juga dengan ini sepatutnya berhenti daripada terus menekan Perdana Menteri untuk memenuhi tuntutan mereka.
Mereka sepatutnya lebih memahami prinsip Perlembagaan berbanding mengutamakan tuntutan satu kaum saja.
Laksana tuntutan dalam kerangka Perlembagaan
Hakikatnya, selagi UEC tidak dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan, satu perkara yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan maka tiada keperluan dan kewajaran untuk ia diberi pengiktirafan.
Sebaiknya, semua pihak harus menerima sistem pendidikan kebangsaan dan penggunaan sijil SPM untuk kelayakan melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi yang diiktiraf oleh kerajaan.
Tirai 2025 hampir berlabuh. Mari kita bersama-sama membantu PMX membawa Malaysia untuk lebih hebat demi kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum serta taraf hidup.
Terimalah ketegasan PMX dengan hati yang terbuka. Usahlah ada lagi pihak-pihak yang cuba `mencemarkan’ udara segar kehormonian yang sedang kita nikmati.
Selama menerajui Kerajaan MADANI PMX telah melaksanakan tugasnya dengan amanah, bertanggungjawab serta berintegriti.
PMX juga telah berjaya menjulang nama Malaysia ke pentas antarabangsa sehingga dikagumi oleh pemimpin-pemimpin dunia.









Comments