top of page

UEC Aset Negara, Jambatan Kepada Komuniti Cina Global

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 3 min read

ree

Oleh: Lai Chen Heng


ULASAN: Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dibangkitkan semula bukan kerana permintaan akar umbi, tetapi akibat kerentanan politik (pasca Pilihan Raya Negeri Sabah ke 17). Keutamaan kerajaan buat masa ini adalah menyelesaikan krisis kronik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan menetapkan penyelesaian muktamad UEC, menjadikannya aset strategik untuk merapatkan jurang ke komuniti Cina global.


Isu UEC adalah harta keramat komuniti yang melambangkan pemeliharaan warisan dan jaminan peluang ekonomi. Gangguan terhadap sistem pendidikan Cina dianggap sebagai gangguan terhadap identiti dan masa depan mereka.


Walaupun saya sendiri tidak bersekolah Cina, peranan saya dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai satu-satunya pemimpin berbangsa Cina telah memberi saya peluang untuk berinteraksi langsung dengan lembaga dan pentadbir sekolah Cina, membolehkan saya memahami komitmen mendalam dan kebimbangan tulen mereka terhadap aliran pendidikan ini.


Keperluan ekonomi, bukan tuntutan politik


Naratif mesti beralih, UEC adalah aset ekonomi negara yang perlu dimanfaatkan, bukan peninggalan budaya. Faktor kritikal UEC bukanlah tuntutan politik, tetapi keperluan global menguasai bahasa bagi menembusi zon komersial paling dinamik di dunia, iaitu kuasa besar ekonomi dan ketenteraan China.

Penulis -  Lai Chen Heng
Penulis -  Lai Chen Heng

UEC adalah jambatan rasmi Malaysia ke diaspora Cina global, terutamanya di China. Penguasaan Bahasa Mandarin dan kurikulumnya yang relevan adalah penting untuk menavigasi pasaran dominan berbahasa Cina di samping penguasaan Bahasa Kebangsaan di negara sendiri.


Sistem pendidikan ini semakin diterima oleh semua kaum. Di Wangsa Maju, misalnya, setiap sekolah rendah Cina menunjukkan peningkatan murid-murid Melayu, membuktikan SJKC dipilih atas kelebihan bahasa dalam ekonomi global.


Laluan pengiktirafan Persekutuan juga bukan sesuatu yang baharu. Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah pun mengiktiraf UEC untuk perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi negeri, tertakluk kepada penguasaan Bahasa Malaysia yang diperlukan. Ini mewujudkan model pematuhan yang berfungsi yang boleh diguna pakai oleh Kerajaan Persekutuan.


Formalisasi status UEC, seperti kelayakan Sekolah Antarabangsa, adalah langkah strategik untuk menghentikan aliran keluar bakat dan menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) China, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia


Jambatan yang hilang: komponen komuniti


Kegagalan sesetengah pihak memahami peranan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Pertubuhan Ibu Bapa dan Guru, dan Alumni berpunca daripada kegagalan melihat institusi ini sebagai aset milik komuniti dan dibiayai sendiri.


Ini sering membawa kepada keputusan dasar yang tidak bermaklumat, seperti isu dewan baru-baru ini. Kementerian Pendidikan perlu memperkasakan institusi mereka untuk berinteraksi dengan badan-badan ini sebagai rakan kongsi yang dihormati bagi mengelakkan keputusan yang menghakis kepercayaan. Kebanyakan sekolah Cina adalah hasil pembiayaan komuniti.


UEC, Dong Zong membina negara


Kita mesti memahami UEC dan Dong Zong dengan lebih baik, bukannya mengkesampingkan seruan mereka. Dong Zong bukan penggerak baharu, sejarah mereka sudah wujud sebelum kemerdekaan 1957. Hari ini, mereka menguruskan 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina—termasuk empat di Kuala Lumpur—yang merupakan aset pembinaan negara yang menghasilkan bakat berbilang bahasa yang sangat dicari.


Tanyalah berapa ramai daripada pembina negara yang pernah menuntut di Chong Hwa, Confusius, Kuen Cheng ataupun Tsun Jin?


Penyelesaian UEC mestilah bersyarat, mematuhi, dan berdasarkan merit ekonomi, bukan janji politik. Tekanan politik berulang, tidak kira dari mana ia datang, hanya meningkatkan ketegangan dan melambatkan penyelesaian rasional. Respon Perdana Menteri terhadap permintaan DAP dalam isu UEC telah dijangka mendatangkan maklum balas yang kurang selesa, apatah lagi tajuk berita media arus perdana sengaja ditulis secara salah tafsir.


Komen PMX betul, kerana keputusan mesti berdasarkan Akta Pendindidkan dalam Perlembagaan, bukan tekanan politik. Sebarang tuntutan agresif akan mempolitikkan semula isu tersebut, mengancam keharmonian nasional.


Elak krisis pendidikan


Tuntutan pengiktirafan UEC juga akan memberi kesan tidak langsung kepada imej Kerajaan Malaysia Madani. Namun, isu sebenarnya yang lebih kritikal adalah isu kronik SJKC harus diberi perhatian segera untuk mengelakkan krisis pendidikan daripada merebak.


Kementerian perlu fokus pada kualiti operasi SJKC dengan menangani kekurangan guru yang berterusan (terutamanya bagi Matematik dan Sains), serta memastikan peruntukan yang telus, saksama, dan konsisten untuk penyelenggaraan dan pembangunan.


Wujud persepsi bahawa SJKC digalakkan mendapatkan dana sendiri untuk menaik taraf sekolah, contohnya bagi pembelajaran digital seperti 'papan pintar', kerana kononnya kekuatan PIBG dan LPS masing-masing —pandangan yang jarang dikongsi secara terbuka oleh Pejabat Pendidikan Daerah. Pendidikan bahasa ibunda adalah isu sensitif dalam kalangan komuniti Cina, dan kesungguhan mereka dalam hal ini sewajarnya dilihat sebagai keunikan.


Fokus kepada fungsi, bukan pecahan


Formula strategik untuk pengiktirafan adalah kukuh dari segi Perlembagaan dan penting dari segi ekonomi: Pengiktirafan UEC secara formal, tertakluk kepada kredit SPM Bahasa Malaysia. Ini adalah langkah strategik yang perlu untuk menjamin masa depan ekonomi kita dengan meletakkan UEC sebagai jambatan kepada komuniti Cina global dan menamatkan perdebatan nasional yang melemahkan ini.


Kerajaan Malaysia tidak boleh membiarkan kontroversi politik mengaburi peluang ekonomi nasional. Pilihan adalah jelas: hentikan penggunaan UEC sebagai perisai politik, selesaikan krisis SJKC sekarang, dan gunakan UEC—dengan pematuhan dwi-treknya yang terbukti—untuk akhirnya membuka potensi ekonomi kita sebagai hab utama bagi pasaran global Cina.

Lai Chen Heng ialah mantan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page