top of page

Malaysia-Jepun capai persetujuan transaksi guna matawang Ringgit, Yen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 10
  • 2 min read
PM Anwar dan rakan sejawat Sanae Takaichi dalam sidang media bersama di Tokyo, hari ini
PM Anwar dan rakan sejawat Sanae Takaichi dalam sidang media bersama di Tokyo, hari ini

Malaysia dan Jepun bersetuju memperkukuh kerjasama kewangan menerusi usaha memperluaskan penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga dua hala termasuk pengaturan baharu.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan Ringgit dan Yen dalam transaksi perdagangan dan pelaburan berupaya mengukuhkan hubungan ekonomi serta perdagangan antara kedua-dua negara.


Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, transaksi dua hala menggunakan mata wang tempatan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang pihak ketiga, selain meningkatkan ketahanan ekonomi kedua-dua negara.


"Kita juga memberi penekanan kepada perkara yang sangat penting dan dekat di hati saya iaitu memperluaskan transaksi mata wang tempatan menggunakan Ringgit dan Yen agar kita dapat meningkatkan kebergantungan antara satu sama lain.


"Saya juga amat gembira mendengar persetujuan dan persefahaman yang dicapai antara Bank Negara (BNM) dan Bank of Japan mengenai perkara ini.


"Perkembangan tersebut juga mencerminkan kesediaan kedua-dua negara untuk terus memperluaskan kerjasama dalam bidang strategik yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi masing-masing," katanya.


Beliau memaklumkan perkara berkenaan dalam sidang media bersama rakan sejawatannya, Sanae Takaichi, di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo hari ini.


Anwar berada di negara matahari terbit itu selama tiga hari sehingga hari ini bagi mengadakan lawatan rasmi untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun atas jemputan Sanae Takaichi.


Dalam sidang media sama, beliau turut memaklumkan mengenai pengukuhan kerjasama strategik melibatkan sektor tenaga antara kedua-dua negara.


Menurut Anwar, kerjasama itu terus diperkukuh menerusi perjanjian pembekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang antara PETRONAS dan JERA yang memuktamadkan perjanjian jual beli LNG bagi membekalkan dua juta tan setahun kepada Jepun untuk tempoh 20 tahun bermula 2028.


''Kami baru sahaja memuktamadkan perjanjian jual beli LNG jangka panjang antara PETRONAS dan JERA untuk membekalkan dua juta tan LNG setahun bagi tempoh 20 tahun bermula 2028.


"Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa dan kejayaan dari segi kepercayaan serta kerjasama antara dua negara sahabat yang hebat," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page