top of page

Anwar seru ASEAN - Jepun perkukuh kerjasama hadapi ketidaktentuan global

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Jun 10
  • 3 min read
DS Anwar menyampaikan ucapan di Forum Nikkei Future of Asia di Tokyo
DS Anwar menyampaikan ucapan di Forum Nikkei Future of Asia di Tokyo

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ASEAN dan Jepun memperkukuh kerjasama ekonomi, teknologi dan tenaga bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik yang kian meningkat, sambil menegaskan negara-negara di rantau ini tidak wajar dipaksa memilih antara kuasa-kuasa besar dunia.


Perdana Menteri berkata dunia sedang berdepan ketidaktentuan strategik yang berpunca daripada persaingan kuasa besar, konflik geopolitik dan kecenderungan menggunakan instrumen ekonomi sebagai alat tekanan politik.


"Tragedi berterusan di Gaza dan Lebanon, perang di Ukraine, ketegangan di Asia Barat serta pertikaian di Laut China Selatan menjadi bukti bahawa keamanan global semakin rapuh dan memerlukan pendekatan baharu yang berteraskan dialog serta kerjasama.


"Perang Dingin mungkin telah berakhir 35 tahun lalu tetapi sejarah tidak berakhir bersamanya. Kita masih menjadi tebusan kepada dinamik kuasa sifar jumlah (zero sum) yang menyaksikan pihak yang kuat terus menekan yang lemah," katanya ketika berucap pada Forum Nikkei Future of Asia di Tokyo hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata rantau Asia termasuk ASEAN tidak boleh membiarkan diri mereka terperangkap dalam persaingan geopolitik yang memecah-belahkan negara-negara kepada blok-blok pengaruh yang bersaing.


"Persaingan strategik berisiko memecah-belahkan rantau ini kepada lingkungan pengaruh yang saling bersaing dan memaksa negara-negara seperti Malaysia untuk memilih pihak.


"Kita tidak memilih pihak apabila berdepan perubahan iklim, peralihan demografi atau gangguan teknologi, dan prinsip yang sama perlu diterapkan dalam geopolitik," katanya.


Beliau menegaskan kebangkitan Asia selama beberapa dekad dibina atas asas keterbukaan ekonomi, perdagangan bebas dan integrasi serantau yang telah mengeluarkan jutaan penduduk daripada kemiskinan serta menjadikan rantau itu sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi global.


Bagaimanapun, beliau berkata sistem perdagangan pelbagai hala yang menjadi tunjang pembangunan dunia kini berdepan tekanan akibat pemecahan ekonomi global, tindakan unilateral dan persaingan strategik antara kuasa besar.


Tambah Anwar kecenderungan menjadikan rantaian bekalan, teknologi, mineral kritikal, kewangan dan akses pasaran sebagai instrumen geopolitik berpotensi menjejaskan negara-negara membangun yang bergantung kepada perdagangan terbuka.


"Tugas kita bukanlah untuk meninggalkan sistem pelbagai hala dan bukan juga untuk mengekalkannya tanpa perubahan. Tugas kita adalah untuk memperbaharui dan memperkukuhkannya," katanya.


Perdana Menteri turut menekankan peranan penting kuasa pertengahan seperti Malaysia dan Jepun dalam membina konsensus antarabangsa ketika dunia semakin berpecah.


"Kita berada dalam kedudukan yang unik untuk membina jambatan ketika pihak lain melihat jurang pemisah dan membina konsensus ketika pihak lain melihat perpecahan," katanya.


Dalam konteks hubungan dua hala, Anwar menyifatkan Jepun sebagai antara rakan strategik paling penting kepada Malaysia dan ASEAN, dengan kerjasama kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu membantu mempercepatkan proses perindustrian dan transformasi ekonomi Malaysia.


Beliau berkata hubungan erat itu kini boleh diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dalam sektor semikonduktor, teknologi maju, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga.


Menurut beliau, kekuatan Malaysia dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip semikonduktor mampu melengkapi kepakaran Jepun dalam bahan, peralatan dan pembuatan berteknologi tinggi bagi membentuk ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan.


Dalam sektor tenaga, beliau berkata kerjasama Malaysia-Jepun berpotensi menyokong agenda peralihan tenaga bersih Asia, termasuk pembangunan Grid Kuasa ASEAN yang dijangka meningkatkan kesalinghubungan tenaga rentas sempadan di rantau ini.


Anwar turut memuji sokongan Jepun terhadap pelbagai inisiatif integrasi ekonomi serantau termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).


Beliau berkata kedua-dua perjanjian itu penting dalam memastikan rantau Asia-Pasifik terus kekal terbuka, berdaya saing dan berasaskan peraturan yang jelas.


Mengenai ASEAN, Anwar menegaskan bahawa prinsip Kepusatan ASEAN kekal relevan dalam dunia yang semakin terpolarisasi kerana ia menyediakan platform untuk dialog, keterangkuman dan kerjasama tanpa mengira perbezaan politik atau geopolitik.


"ASEAN Centrality bukan sekadar konsep diplomatik. Ia adalah tindak balas praktikal terhadap dunia yang semakin berpecah.


"Ia mencerminkan keyakinan bahawa keterangkuman mesti mengatasi pengecualian, dialog mesti mengatasi perpecahan dan kerjasama mesti mengatasi paksaan," katanya.


Dalam pada itu, Anwar berkata dunia hari ini tidak mengalami kekurangan kuasa sebaliknya kekurangan kejelasan dalam menentukan hala tuju masa depan.


"Dunia hari ini tidak mengalami kekurangan kuasa. Sebaliknya, dunia mengalami kekurangan kejelasan.


"Kejelasan bahawa institusi perlu diperbaharui dan diperkukuh, bukannya ditinggalkan. Kerjasama sentiasa lebih baik daripada perpecahan. Kepimpinan memerlukan inisiatif, bukannya sikap menyerah kepada keadaan.


"Jika kita terus berpandukan prinsip-prinsip ini, saya percaya kita mampu mengubah cabaran hari ini menjadi peluang pada masa hadapan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page