top of page

Ucapan berani PM di PBB kembalikan Malaysia aktif di arena antarabangsa



ANALISIS: Ucapan Kenegaraan yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat semalam bukan sahaja yang pertama dilakukan beliau sejak menjadi PM tetapi memperlihatkan keberanian Malaysia mengkritik kuasa besar dunia dalam perkembangan politik antarabangsa.


Malaysia dilihat kembali ke era 1990an dengan keberanian menyuarakan pengunduran Rusia daripada pencerobohannya di Ukraine yang memasuki tahun kedua.


"Kita mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Konflik di Ukraine sebagai contoh, menggariskan keharusan untuk berdamai dan menyelesaikan perbezaan secara baik melalui rundingan.


"Namun begitu, masa tidak menyebelahi kita, dan disebabkan kegagalan yang berpanjangan untuk menangani krisis Rusia-Ukraine ini saya menggesa agar usaha bersepadu pelbagai hala yang diketuai oleh PBB (dilakukan) untuk menyelesaikannya," kata Anwar.


Selain itu beliau juga menimbulkan kebimbangan akibat langsung konflik tersebut yang menyebabkan harga bahan makanan asasi dunia seperti jagung dan gadum melambung dan terbaharu beras semakin tinggi harganya di peringkat global.


Berkenaan isu Palestin, PM mengulangi ketegasan Malaysia sejak puluhan tahun lalu yang mahu konflik berkenaan diselesaikan secara mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka.


"Di Timur Tengah, politik perampasan berterusan dengan lebih banyak penempatan haram dibina (pendatang Yahudi), melucutkan tanah rakyat Palestin yang menjadi hak milik mereka.


"Ini merupakan pelanggaran berat undang-undang antarabangsa. Ia juga menimbulkan halangan yang tidak dapat diatasi kepada penyelesaian dua negara, apatah lagi pembunuhan berterusan," katanya.


PM terang terangan mencela kemunafikan negara Barat dalam menangani isu Palestin dan mahu mereka bersuara lebih keras dalam menentang kekejaman yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.


Isu Afghanistan yang dilupakaan oleh banyak negara ditimbiulkan oleh PM Malaysia lewat kritikannya terhadap regim Taliban yang menindas hak asasi wanita terutama dalam bidang pendidikan, yang tidak sejalan dengan piagam PBB dan malah hukum hakam Islam sekali pun.


"Kami menyeru pihak berkuasa Afghanistan untuk membatalkan dasar pengecualian dan diskriminasi mereka terhadap wanita dan gadis.


"Menafikan hak mereka untuk bersekolah adalah melanggar ajaran Islam, bukan sebutkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rangka kerja pelbagai hala hak asasi manusia. Mereka juga amat memudaratkan masa depan Afghanistan," katanya.


Menyentuh isu Asia, PM membangkitkan perkara yang sering ditutupi oleh kuasa besar China dan Rusia mengenai penindasan sekutu mereka, junta tentera Myanmar terhadap orang awam.


Kekerasan itu, kata PM, menyebabkan melimpahnya pelarian ke negara negara jiran Myanmar termasuk Malaysia.


"Kami terkejut dengan keganasan dan ketidakstabilan pasca rampasan kuasa yang berterusan di Myanmar. Ini merupakan antara cabaran strategik dan kemanusiaan terbesar di Asia Tenggara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.


"Kebiadaban dan kebejatan yang ditimpakan kepada rakyat Myanmar tidak dapat dipertahankan, dan bertentangan dengan nilai serta prinsip yang dikongsi oleh rakyat di rantau ini dan di peringkat global.


"Sokongan masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, adalah penting untuk mendesak secara berterusan dan mengekalkan tekanan yang diperlukan ke atas pihak berkuasa tentera untuk mengubah hala tuju mereka," katanya.


Anwar juga membangkitkan isu kerosakan iklim global menyebabkan peningkatan suhu, kenaikan paras laut, monsun yang semakin bergelora, dan corak cuaca yang tidak menentu mengganggu mata pencarian serta ekosistem masyarakat dunia.


Beliau menyampaikan usaha Malaysia melalui pelan hala tuju rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kesan rumah hijau.


"Kami menggesa negara-negara maju untuk memenuhi komitmen mereka menggerakkan AS$100 bilion setahun untuk menyokong usaha cita-cita iklim negara membangun sambil mengiktiraf bahawa bertrilion dolar setahun akan diperlukan dalam masa terdekat," katanya.


Namun perkara yang paling besar disentuh oleh PM Malaysia adalah mengenai penindasan terhadap agama Islam dalam arus Islamofobia dengan melabelkannya sebagai "bentuk baru perkauman" yang dicirikan oleh xenofobia, profil negatif dan stereotaip terhadap umat Islam.


"Ini dimanifestasikan dalam trend kebencian, sikap tidak bertoleransi, dan tindakan keganasan yang membimbangkan terhadap umat Islam dan kesucian mereka.


"Kami terkejut dengan pembelaan hak asasi manusia yang lemah. Pembakaran al-Quran tidak lain hanyalah tindakan Islamofobia yang jelas bertujuan untuk menimbulkan kebencian.


"Tidak bertindak dalam menghadapi provokasi terang-terangan terhadap agama adalah tidak bertanggungjawab dan menghantar mesej berbahaya kepada manusia," katanya.


Justeru, Anwar menyarankan masyarakat dunia agar menerapkan nilai-nilai penerimaan, toleransi dan saling menghormati, menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara budaya, antara tamadun, dan antara agama.


Isu isu besar yang dihujahkan oleh PM Malaysia ini telah mengembalikan negara menjadi pemain aktif di arena antarabangsa.


Malaysia tergolong dalam negara berkecuali tetapi mampu mengkritik kuasa besar serta memperjuangkan pembelaan terhadap negara yang lemah daripada terus dibuli oleh penguasa global.


* Foto kredit: Afiq Hambali PMO

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page