Harga petrol Budi95 kekal ketika minyak mentah lebih AS$100 setong - MOF
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan tetap mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah inisiatif Budi Madani (Budi95) pada kadar RM1.99 seliter ketika harga minyak mentah global kini melebihi AS$100 setong sejak tercetusnya konflik di Asia Barat pada hujung bulan lalu.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata langkah tersebut ambil bagi melindungi isi rumah dengan harga pasaran bahan api diselaraskan secara berperingkat sejajar kenaikan harga global.
"Langkah pengekalan subsidi ini adalah untuk memastikan persediaan rakyat untuk menyambut Aidilfitri kekal lancar," demikian kata kenyataan itu hari ini.
Kementerian itu berkata kerajaan menanggung subsidi sejumlah RM3 bilion sebulan bagi mengekalkan harga RON95 Budi95 dan diesel pada kadar RM2.15 di Sabah dan Sarawak.
Meskipun harga bahan api domestik kekal dipengaruhi pergerakan harga dunia, kerajaan mengambil pendirian untuk tidak mengalihkan sepenuhnya kenaikan harga tersebut kepada rakyat, kata MOF
"Walaupun Malaysia negara pengeluar minyak, produk petroleum bagi kegunaan domestik masih diperoleh melalui pasaran global.
"Justeru itu, harga bahan api domestik kekal dipengaruhi oleh pergerakan harga antarabangsa," menurut MOF.
Dalam pada itu, kementerian memaklumkan harga RON97 sepanjang tempoh 19 hingga 25 Mac ini dinaikkan kepada RM4.55 seliter.
Perubahan harga bahan api global di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) turut melibatkan diesel (Semenanjung Malaysia) yang naik kepada RM4.72 seliter manakala RON95 tanpa subsidi serta diesel (Sabah, Sarawak dan Labuan) masing-masing kekal pada RM3.27 seliter dan RM2.15 seliter.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan lebih 400,000 kenderaan pelbagai sektor pengangkutan awam dan barangan darat kekal dilindungi melalui skim subsidi bersasar termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
"Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah dan bertanggungjawab dalam mengurus harga bahan api domestik susulan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran minyak global.
"Walaupun berhadapan kenaikan harga minyak global, harga bahan api di Malaysia kekal antara yang lebih rendah di rantau ini hasil langkah Kerajaan MADANI mengekalkan sebahagian subsidi bagi melindungi rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi domestik," kata kenyataan itu.




Comments