"Bukan soal siapa bergari atau tidak, tentukan status undang-undang"
- Akmal Manaf

- Mar 18
- 2 min read

Orang ramai sepatutnya tidak termakan dengan sentimen yang cuba dibangkitkan segelintir pihak dengan mempersoalkan mengapa aktivis Zamri Vinoth hadir ke mahkamah dalam keadaan tangan bergari namun seorang lagi aktivis Arun Dorasamy berjalan bebas.
Adakah terdapat double standard dilakukan pihak polis terhadap kedua-dua aktivis tersebut?
Bagi menjelaskan perkara ini, Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) berkata individu dalam tahanan polis lazimnya digari mengikut prosedur manakala mereka yang hadir ke mahkamah secara sukarela tidak dikenakan tindakan sedemikian.
Katanya, tindakan tersebut bukan satu bentuk diskriminasi, sebaliknya merupakan prosedur operasi standard (SOP) pihak polis untuk semua orang tanpa mengira kaum atau agama.
"Seseorang yang hadir secara bebas untuk sebutan mahkamah, polis tidak ada kuasa atau keperluan untuk menggari mereka.
"Persoalan sebenarnya bukan soal siapa digari dan siapa tidak, tetapi apakah status undang-undang seseorang pada hari berkenaan.
"Hakikatnya dari perspektif polis, apabila mereka membawa Zamri ke mahkamah pada 17 Mac, rekod rasmi polis masih mencatatkan beliau sebagai individu yang 'disyaki melarikan diri' sebelum pulang.
"Ini secara langsung mempengaruhi keputusan anggota polis di lapangan untuk mengenakan gari, ia adalah tindak balas kepada persepsi risiko pelarian, bukan semata-mata status teknikal 'sukarela atau tidak'," katanya kepada Suara Keadilan.
Menjelaskan lebih terperinci, Bryan yang juga seorang peguam berkata, Arun hadir ke mahkamah pada 17 Mac bagi kes yang berlaku pada 12 Mac 2025 iaitu hampir setahun yang lalu.
Katanya, selepas Arun mengaku tidak bersalah, mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Jun depan.
"Ini bermakna Arun hadir sebagai orang bebas yang menjawab pertuduhan, bukan sebagai orang dalam tahanan.
"Bagi Zamri pula, situasinya amat berbeza. Polis mengesahkan Zamri disyaki melarikan diri ke Thailand dan usaha mengesannya sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.
"Ini menyebabkan beliau berada dalam status tahanan aktif polis sebelum dibawa ke mahkamah," ujarnya lagi.
Semalam Zamri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam berkaitan perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara pada bulan lalu.
Terdahulu beliau yang memakai kot warna biru dan berseluar hitam tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dalam keadaan bergari dengan dibawa menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) diiringi anggota dan pegawai polis.
Di Pulau Pinang pula, aktivis Arun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi atas pertuduhan membuat kenyataan dengan niat menyebabkan kegentaran awam di media sosial, tahun lalu.
Arun, 56, didakwa membuat kenyataan di akaun Instragram miliknya yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan pada pukul 3.45 petang, 12 Mac 2025.




Comments